Tempahan Jaecoo J5 EV kini dibuka, harga anggaran dari RM125,000

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi SUV elektrik Jaecoo J5 EV 2026.

Harga jualan EV pertama jenama itu dianggarkan bermula dari RM125,000.

Spesifikasi ringkas

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Pencapaian sempena ulang tahun kedua

Selain pembukaan tempahan EV pertama, Omoda | Jaecoo Malaysia turut meraikan ulang tahun kedua serta penghantaran lebih 32,000 unit kenderaan di seluruh negara.

Sebanyak lebih 8,100 unit kenderaan telah diedarkan sehingga Julai 2026, menjadikan Omoda | Jaecoo sebagai jenama kelima terlaris di Malaysia.

Penyumbang utama bagi prestasi tersebut ialah Jaecoo J5 yang diperkenalkan pada Mac 2026.

Sejak dilancarkan, SUV ini merekodkan lebih 2,500 penghantaran dalam tempoh empat bulan.

Komitmen terhadap elektrifikasi

Komitmen jenama itu terhadap mobiliti tenaga baharu turut diterjemahkan menerusi prestasi jualannya.

Pada separuh pertama (H1 2026), penghantaran bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) meningkat kepada 2,300 unit berbanding 244 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dengan pengenalan Jaecoo J5 EV, ia bakal mengukuhkan lagi portfolio NEV jenama Omoda | Jaecoo di samping menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia.