Denza Z9 GT 2026 rasmi di Malaysia – harga jualan dari RM358,800

Denza Malaysia secara rasmi melancarkan model baharu Denza Z9 GT 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam varian tunggal, model shooting brake elektrik ini dijual pada harga bermula dari RM358,800.

Sempena dengan pelancaran, Denza Malaysia menawarkan pakej berikut:

  • Jaminan kenderaan 6-tahun atau had perbatuan 150,000 km
  • Pakej servis berjadual percuma 6-tahun bernilai RM10,000
  • Jaminan bateri bervoltan tinggi 8-tahun atau 160,000 km
  • Jaminan unit pacuan 8-tahun atau 160,000 km
  • Sepasang fon telinga edisi khas Denza oleh Devialet bernilai RM2,000

Platform e³

Denza Z9 GT dibina berdasarkan platform e³ yang menampilkan tetapan tiga motor elektrik menghasilkan kuasa 1,156 PS dan daya kilas 1,210 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 2.7 saat.

Pek bateri Blade berkapasiti 122.49 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 701 km (NEDC).

Senibina 1,000V membolehkan Denza Z9 GT menyokong Flash Charging, dengan pengecasan 10-70% dalam masa lima minit sahaja, dan 10-97% dalam masa 9 minit.

Casis & Dimensi

Z9 GT merupakan sebuah shooting brake dengan ukuran panjang melebihi lima meter.

Dimensi sebetulnya sepanjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,490 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 495 liter ditambah dengan kehadiran frunk sebesar 53 liter.

Z9 GT dilengkapi dengan suspensi udara Disus-A terdiri daripada tetapan double-wishbone aluminium di depan, diikuti sistem multi-link di belakang dan kawalan redaman berterusan (CDC).

Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, Z9 GT boleh mencapai radius putaran sekecil 4.62 meter, selain menawarkan “Crab Mode” dan “Pencil Compass Turn”.

Kelengkapan luaran & dalaman

Secara standard, Denza Z9 GT hadir dengan ciri seperi lampu utama LED, lampu belakang LED dengan grafik jam pasir, logo Denza 3D, bumbung kaca panorama, serta spoiler belakang aktif.

Tidak ketinggalan, keempat-empat pintu didatangkan dengan fungsi tutup lembut.

Ruang kabin pula didatangkan dengan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 13.2 inci
  • skrin tengah sebesar 17.3 inci
  • skrin penumpang hadapan 13.2 inci
  • paparan head-up AR 50 inci
  • cermin pandang belakang digital 9.1 inci
  • skrin LCD baris kedua 6 inci

Tempat duduk depan diberikan larasan 8-tahap , diikuti sokongan tulang belakang 4-tahap, fungsi memori, urut, pemanas dan ventilasi, sementara tempat duduk pemandu pula hadir dengan sistem bolster dinamik.

Tempat duduk belakang hadir dengan fungsi urut, pemanas dan ventilasi, diikuti larasan sudut sandaran dan perehat kaki kawalan elektrik.

Ciri lain termasuklah:

  • kawalan iklim empat-zon
  • sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara
  • sistem pencahayaan ambien
  • ruang storan 4 liter dengan fungsi panas (sehingga 50 darjah Celcius) dan sejuk (serendah -6 darjah Celcius)
  • pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W berkembar
  • bantuan suara berbilang bahasa (termasuk Bahasa Malaysia)

Keselamatan

Secara standard, Denza Z9 GT hadir dengan sembilan beg udara, serta sistem kawalan kenderaan (VMC) yang menampilkan fungsi seperti:

  • Low Friction Pavement Stability Control System
  • High-Speed Tyre Burst Control System

Selain itu, terdapat ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2+ yang turut merangkumi kawalan jelajah adaptif, kawalan pemusatan lorong, serta pengelakan pelanggaran prediktif.

Pilihan warna

Terdapat dua pilihan warna iaitu Rime Gold dan Obsidian Black.

Warna Rime Gold diberikan pilihan warna dalaman Dark Chocolate & Perg Beige, atau pilihan warna dalaman hitam yang menampilkan tempat duduk suede dengan jahitan kuning.

Warna Obsidian Black pula boleh dipadankan dengan warna Dark Chocolate & Red Velvet, Dark Chocolate & Perg Beige, atau warna serba hitam.