Porsche Cayenne Electric dipertontonkan di Malaysia – 2 varian, bakal dilancarkan kelak

Sime Darby Auto Performance (SDAP) mempertontonkan model SUV baharu Porsche Cayenne Electric yang bakal dilancarkan pada tahun ini.

Tidak seperti Cayenne versi petrol dan hibrid, Cayenne EV akan ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU).

Dimensi

Porsche Cayenne Electric membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,985 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,674 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,023 mm.

Berbanding Cayenne ICE, Cayenne EV memiliki kelebihan panjang 55 mm, dan jarak antara roda 130 mm lebih panjang, menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.

Secara standard, Cayenne Electric menyediakan ruang kargo sebesar 781 liter-1,588 liter, serta ruang frunk sebesar 90 liter.

Dua varian

Untuk permulaan, Cayenne Electric ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu varian asas dan varian turbo.

Perinciannya seperti berikut:

Cayenne Electric

  • motor elektrik tunggal
  • kuasa cecah 442 PS/835 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat
  • kelajuan maksimum 230 km/j
  • jarak pandu 642 km

Cayenne Turbo Electric

  • dua motor elektrik
  • sistem pacuan semua roda
  • kuasa cecah 1,156 PS/1,500 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat
  • kelajuan maksimum 260 km/j
  • jarak pandu 623 km

Pengecasan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan pek bateri 113 kWh, dan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan DC sehingga 400 kW.

Ini bermakna, pengecasan 10-80% SoC boleh dicapai dalam masa bawah 16 minit.

Selain itu, Porsche Cayenne Electric turut menyokong pengecasan induktif (tanpa wayar) sehingga 11 kW.

Kelengkapan

Unit yang dipamerkan di Porsche Centre Ara Damansara ini merupakan varian Turbo.

Di bahagian luar, varian Turbo ini dilengkapi dengan ciri seperti:

  • rim 22 inci SportTechno
  • spoiler belakang adaptif
  • bilah aero aktif di belakang
  • sistem stereng gandar belakang
  • Porsche Active Ride
  • pintu jenis tutup lembut

Kabin Cayenne Turbo Electric ini membawakan ciri seperti skrin melengkung 14.25 inci untuk pemandu, skrin tengah bersudut Flow Display, skrin penumpang opsyen 14.9 inci, serta skrin paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh (AR).

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • tempat duduk sports adaptif larasan 18 tahap
  • fungsi pemanas tempat duduk depan dan belakang
  • kemasan logo Porsche pada perehat kepala
  • soket kuasa 230V pada ruang kargo
  • bumbung kaca panorama

Harga

Buat masa ini, pihak SDAP masih belum mendedahkan harga jualan rasmi bagi model Porsche Cayenne Electric.

Dalam masa yang sama, SDAP akan terus menawarkan Porsche Cayenne versi CKD, iaitu Porsche Cayenne Petrol berharga dari RM609,000 dan Cayenne S E-Hybrid Coupe berharga RM739,000.

Porsche Cayenne Turbo Electric