Arkib Kategori: MALAYSIA

MODENAS serah 1,092 skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan kumpulan kedua skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO sebanyak 1,092 unit kepada Pos Malaysia sebagai sokongan kepada komitmen untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.

Kesemua skuter elektrik ini akan dihantar secara berperingkat menyertai armada EV Pos Malaysia sedia ada  yang terdiri daripada 220 unit motosikal elektrik (termasuk 140 unit MEV-1 yang telah diserahkan sebelum ini) dan 143 van elektrik.

Modenas MEV-1 PRO telah direka untuk memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran, menyokong kapasiti beban sehingga 250 kg, kuasa maksimum 4.3 kW (5.8 hp) serta keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah.

Syarikat MODENAS akan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO menerusi rangkaian pusat servisnya di seluruh negara.

Difahamkan, skuter elektrik MODENAS MEV-1 juga akan ditawarkan kepada pengguna umum dengan versi yang lebih mampu milik diperkenalkan bermula suku pertama 2025 (Q1 2025).

 

Rangka pesawat yang tular bukan milik TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini menafikan rangka pesawat yang dipaparkan dalam video dan gambar tular menerusi media sosial adalah miliknya, lapor Bernama.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan bahawa semua pesawat milik pasukan itu berada dalam pegangan dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM.

“Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat (yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat) yang tular di media sosial (Facebook, TikTok dan platform X), TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM.

“Pihak TUDM menyeru agar tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 10 saat dan gambar memaparkan beberapa pesawat pejuang yang dipercayai berada di sebuah pelabuhan.

RXZ Twin Boss V2 bakal gegarkan Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32

Semasa acara Art Of Speed 2024, motosikal RXZ Twin Boss V2 oleh FNG Works menjadi tumpuan utama apabila merangkul Anugerah Pilihan Juri dan Pilihan Awam dalam pertandingan Art of Speed Invitational Bike Build Off.

Sebagai juara keseluruhan, motosikal binaan khas ini akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32 pada tahun 2024 di Jepun, bersama kenderaan kustom terbaik dari seluruh dunia.

FNG Works dimiliki dan dioperasikan oleh Mohamad Irwann Bin Mohd Azlan. Pemuda berusia 33 tahun yang lebih mesra dikenali sebagai Cheng ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UiTM Shah Alam.

Antara inspirasi binaan beliau adalah motosikal yang direka oleh Khalid “The Rusty Factory”, Omar Jumiran, Padin Musa, Hills Angels, Azizan Rahim, dan Acid Welding. Bagi pembina antarabangsa, Cheng mengagumi karya Maxwell Hazan, Allen Millyard, Ed Roth, Arlen Ness, dan Sure Shot.

Kisah Twin Boss V2 bermula pada Art Of Speed 2017 dengan debut RXZ Twin Boss yang asal. Dalam reka bentuk V1, Twin Boss juga dikuasakan oleh dua enjin Yamaha RXZ 135cc tetapi dikonfigurasikan dengan satu enjin di hadapan yang lain dan disambungkan pada crank melalui pemacu rantai. Ia telah disiapkan dalam gaya ‘Digger’ dan menjadi hadiah cabutan bertuah pada AOS 2017.

Untuk Art Of Speed Malaysia 2024 yang ke-13, Cheng menggabungkan sepenuhnya dua enjin Yamaha RXZ 135cc menjadi enjin dua silinder tunggal untuk RXZ Twin Boss V2.

Cheng menjelaskan, “Saya ingin mencipta motosikal yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Sesetengah orang mungkin mengkategorikannya sebagai gaya ‘Board Tracker’ atau ‘Land Speed Racer’, tetapi saya mulakan dengan dua enjin Yamaha RXZ yang saya gabungkan menjadi satu unit.

“Dari situ saya membina motosikal di sekeliling enjin yang, pada pendapat saya, mempunyai perkadaran dan garisan yang tepat. Untuk sentuhan terakhir, saya mensasarkan tahap ketepatan fabrikasi yang paling tinggi yang saya mampu capai.”

Art Of Speed Malaysia (AOSM) akan membiayai penyertaan Cheng dalam acara tersebut, dengan bajet RM60,000 untuk menghantar motosikal tersebut ke Jepun, termasuklah penerbangan, hotel, pengangkutan, dan logistik.

Bagi meraikan acara ini, pasukan AOS akan menghasilkan sebuah filem pendek bagi meraikan serta memperingati perjalanan RXZ Twin Boss V2 dari Ipoh, Malaysia ke Yokohama, Jepun.

Projek filem ini akan menampilkan Cheng sendiri, pembina kustom dari Ipoh, bersama-sama dengan Farid Nabawi, Pengarah Kreatif AOS. Hanif Sulhi, pemenang Anugerah Siri Dokumentari Terbaik 2023, Fail Mahkamah TV3, akan membawa bakatnya dalam penceritaan dan menjadi pengarah filem pendek tersebut.

Dengan tajuk “RXZ Balik Kampung: Dari Ipoh ke Yokohama”, mesej yang penuh inspirasi ini bertujuan untuk memperkasakan kreativiti dalam kalangan belia, menyemai keseronokan, dan mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Filem pendek ini akan dibahagikan kepada siri 6 episod, dengan tayangan perdana di semua platform sosial AOS pada Hari Krismas, 25 Disember 2024. Ia juga akan dihantar ke pelbagai Festival Filem Antarabangsa, termasuk Festival Filem Motosikal (Toronto, Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA), dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).

AOSM percaya bahawa penyertaan Malaysia dalam acara ini akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia di persada dunia dan membawa perhatian global kepada industri kreatif Malaysia terutamanya dalam dunia kustom.

Pasukan AOS akan berada di Jepun selama enam hari bersama 15 peserta rombongan untuk menyokong dan memberikan semangat kepada FNG Works.

@engear.tv RXZ Twin Boss V2 Buatan Malaysia 😎 #fyp #carsoftiktok #madeinmalaysia #rxz #yamaha #135cc #twinboss #kustomkulture #hotrod #yokohama #artofspeed #engeartv #viral #trending ♬ Pop beat BGM / long version(1283324) – nightbird_bgm

SAIC Motor Malaysia serah lebih 20 unit MG5 kepada pemilik

SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan lebih 20 unit MG5 baharu kepada para pemilik dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie (Mega Galeri Sdn Bhd).

Menurut SAIC Motor Malaysia, kejayaan acara penyerahan ini adalah hasil kerjasama lebih 18 pengedar sah Motor MG yang terletak di lokasi strategik, memastikan pelanggan menerima kereta mereka dengan segera.

“MG5 telah menarik minat segmen pembeli yang mengutamakan gaya dan keperibadian, dan kami amat teruja untuk meraikan kejayaan ini bersama pelanggan kami,” kata Lee Wen Hsiang, Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor Malaysia.

Tambah beliau lagi, acara tersebut memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, mendengar maklum balas mereka, serta meraih pandangan mengenai tahap kepuasan mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu kami mempertingkatkan perkhidmatan, tetapi juga mengukuhkan komuniti yang kukuh dengan semangat MG,” katanya.

Dilancarkan pada Oktober lalu, MG5 ditawarkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.

Sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.

Ia dikuasakan oleh enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.

Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.

MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.

Kini anda boleh beli tayar Continental menerusi aplikasi TNG eWallet

Continental telah melancarkan Program Mini di aplikasi TNG eWallet, membolehkan pelanggan membeli tayar dengan hanya beberapa ketikan pada telefon bimbit mereka.

Bagi meraikan pelancaran dan meningkatkan keyakinan pembelian tayar dalam talian, Continental menawarkan promosi eksklusif dari 7 November hingga 30 November, bertepatan dengan Jualan Mega 11.11.

Pelanggan boleh menikmati pulangan tunai sehingga RM1 juta, dengan purata 15% pulangan tunai setiap transaksi.

Pelanggan yang membelanjakan minimum RM300 dalam satu transaksi antara 7 Nov 2024 hingga 31 Jan 2025, secara automatik akan menyertai cabutan bertuah dan memperoleh satu penyertaan.

Hadiah utama merangkumi jongkong emas bernilai RM10,000, serta hadiah-hadiah menarik seperti tiga iPhone 16 Pro, dua konsol PS5, dua Huawei MatePad 11.5” Edisi PaperMatte, dan dua Baucar Trapo.

Pemenang mingguan juga boleh menerima pulangan tunai untuk pembelian tayar Continental mereka (tiga pemenang setiap minggu) dan Kad NFC Continental x Touch ‘n Go Edisi Terhad.

“Platform baharu ini memudahkan rakyat Malaysia membeli tayar Continental dalam talian, memenuhi permintaan mereka untuk kemudahan, keselamatan dan harga yang kompetitif,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.

Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, berkata, “Kerjasama kami dengan Continental menunjukkan komitmen kami untuk meningkatkan kehidupan pengguna kami merentasi pelbagai titik sentuh, memberikan mereka perjalanan digital yang lancar, selamat dan holistik.”

Program Mini membantu pengguna mencari corak dan saiz tayar yang betul, dengan pilihan untuk membeli.

Pengguna boleh menggunakan kod promosi, memilih pengedar berdekatan dan menjadualkan pemasangan dalam kedai di lebih 120 kedai tayar Continental yang mengambil bahagian di seluruh negara melalui Program Mini.

Setelah mengesahkan pembayaran melalui TNG eWallet, pelanggan hanya perlu memandu ke pengedar terpilih untuk pemasangan percuma, termasuk pengimbangan, dengan perkhidmatan penjajaran pilihan yang tersedia.

Yamaha Y16ZR 6MRO dilancarkan – 3,000 unit sahaja, RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mencatat sejarah dengan pengeluaran motosikal yang ke-6 juta unit baru-baru ini.

Bagi meraikan pencapaian itu, HLYM telah melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6th Million Roll Out (6MRO) ke pasaran tempatan.

Jika dibandingkan dengan versi standard, Y16ZR 6MRO tampil lebih menonjol dengan livery dwi warna serta grafik dengan efek khas “chameleon” yang boleh bertukar warna.

Selain itu, model ini juga boleh dibezakan menerusi logo ‘glow in the dark’ pada bahagian sisi dan lencana khas yang tertera nombor siri pengeluaran.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Y16ZR 6MRO mengekalkan enjin 155 cc SOHC VVA silinder tunggal yang mampu menghasilkan 17.7 hp dan 14.4 Nm.

Menurut HLYM, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 3,000 unit sahaja. Harga jualan bermula dari RM13,668 (harga atas jalan tidak termasuk insurans).

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej eksklusif yang terdiri daripada kotak paparan, seutas jam tangan Casio G-Shock, plat sijil pemilikan logam dan model die-cast.

Tidak cukup dengan itu, pembeli juga akan menerima sebuah topi keledar Tekhne dalam warna yang sedondon dengan motosikal.

HLYM rai pengeluaran motosikal ke-6 juta, lancar pembukaan muzium Space Y

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan pencapaian pengeluaran motosikal yang ke-6 juta, bertempat di kilang Sungai Buloh.

Model yang ke-6 juta ini merupakan sebuah Yamaha Y16ZR dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Jim Khor selaku Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd; Katsuaki Watanabe, Pengerusi, Pengarah dan Presiden Yamaha Motor Jepun; Datuk Kwek Leng San, Presiden dan CEO Hong Leong Manufacturing Group dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia.

Menurut Dato’ Jim Khor, “Sebelum ini, angka produksi 5 juta merupakan satu pencapaian yang membanggakan yang dicapai dalam tempoh masa 46 bulan.

“Hari ini, kami meraikan pencapaian 6MRO hanya dalam tempoh masa 37 bulan sahaja, menandakan produksi jutaan terpantas di dalam sejarah industri motosikal Malaysia.

Serentak dengan pencapaian tersebut, HLYM turut secara rasmi membuka muzium motosikal yang pertama di Malaysia, Space Y yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Terletak di HQ Yamaha Motor Lifestyle Station, Space Y menawarkan ruang seluas 9,000 kaki persegi yang menyediakan pameran yang menarik, termasuklah ruang sejarah dan perlumbaan, terowong inovasi, ruang seni interaktif, teater dan kedai barangan eksklusif Space-Y.

Dibuka setiap hari kecuali Ahad (10.00 am-5.00 pm), pengunjung tidak akan dikenakan yuran kemasukan sehingga 31 Disember 2024.

Bermula Januari 2025, yuran kemasukan sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak akan dikenakan.

 

HLYM Space Y

Isu stereng: Honda Malaysia panggil semula 36,000 Civic, Civic Type R dan CR-V

Honda Malaysia telah mengumumkan kemas kini produk proaktif membabitkan kira-kira 36,000 unit Honda Civic, Civic Type R dan CR-V.

Menurut syarikat itu, aktiviti ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS).

Roda kotak gear (worm wheel) EPS boleh membengkak dan mengurangkan ketebalan filem gris, menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau melekit.

Model yang terlibat termasuk Civic tahun 2022-2024, Civic Type-R tahun 2023-2024, dan CR-V tahun 2024.

Honda Malaysia berkata ia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam kemas kini produk ini.

“Syarikat percaya kemas kini produk proaktif ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai kemas kini produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terlibat dalam kemas kini ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan. Ini bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan/atau dibaiki jika perlu.

Kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok gantian akan tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024.

Anthony Loke: Semua bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres berikutan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini, menurut laporan Kosmo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres itu sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.

“Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.

“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada MOT boleh mengarahkan APAD memastikan peralatan mengecas telefon yang di pasang dalam pengangkutan awam diuji tahap keselamatan sebelum diberi kelulusan untuk digunakan.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.

Menurut beliau, soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.

“Ini jangan bimbang. Tidak perlu bimbang penggunaan soket tersebut. Bagi bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut.

“Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan. Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” katanya.

Berita penuh di Kosmo!

Touch ‘n Go lancar kempen e-Mas, rebat tunai bagi setiap pembelian RFID

Touch ‘n Go (TnG) melancarkan dua kempen baharu bagi meningkatkan pengalaman rakyat Malaysia dalam penggunaan dompet digital.

Kempen e-Mas yang sah bermula 1 Oktober 2024 hingga 31 Januari 2025 menawarkan pengguna eWallet TnG mendapatkan e-Mas, iaitu emas digital yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun.

Untuk melayakkan diri, pengguna hanya perlu membuat pembelian tag RFID sepanjang tempoh yang disebutkan tadi, di mana 100 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk menerima pulangan tunai e-Mas bernilai RM100.

Kempen Rebat Pulangan Tunai RFID pula menawarkan rebat RM5 untuk setiap pembelian tag RFID di pusat pemasangan atau servis sah di seluruh negara, bermula 1 November 2024 hingga 31 Januari 2025.

Rebat ini akan mengurangkan harga tag RFID daripada RM35 kepada RM30, dan terhad kepada 27,500 orang pelanggan pertama yang layak dengan melakukan pembayaran menggunakan eWallet TnG.

Menerusi kempen terbaharu ini, TnG mahu menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan moden dalam mempelbagaikan simpanan sambil menyepadukan perbelanjaan harian dengan lebih lancar, dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengalaman pengguna melalui inovasi digital.

Shell Malaysia, BonusLink perkenalkan program kesetiaan yang diperbaharui

Shell Malaysia dan BonusLink telah melancarkan program ganjaran dan kesetiaan yang diperbaharui, yang membolehkan ahli mengakses ganjaran yang lebih baik berdasarkan peringkat mereka.

Program kesetiaan yang diperbaharui ini mempunyai struktur tiga peringkat, iaitu Silver, Gold dan Platinum. Ini membolehkan ahli menggandakan ganjaran mereka sehingga lima kali ganda, menjadikan faedah premium lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

Ahli Silver memperoleh 1.5X mata, ahli Emas menerima 3X mata, dan ahli Platinum boleh menggandakan ganjaran mereka sehingga 5X mata bagi setiap liter semasa mengisi minyak di Shell dan juga pembelian di dalam kedai.

Selain itu, tempoh kemas kini ganjaran telah dilanjutkan kepada dua bulan, memberikan ahli lebih masa untuk mengumpul mata dan memaksimumkan faedah mereka.

Ahli juga digalakkan untuk beralih ke aplikasi Shell bagi pembayaran, untuk mendapatkan ganjaran eksklusif yang jauh melebihi yang ditawarkan oleh kad fizikal. Ia juga memudahkan proses pengumpulan dan penebusan sementara menawarkan kemudahan yang tiada tandingan.

“Selama bertahun-tahun, program kesetiaan telah menjadi sebahagian daripada hubungan jenama-pelanggan, tetapi di Shell, kami fokus untuk memastikan pelanggan kami mendapat nilai yang nyata setiap kali mereka berkunjung. Bersama dengan BonusLink, kami telah memperbaharui program ganjaran kami untuk memberi manfaat kepada semua, bukan hanya kepada mereka yangberbelanja besar. Dengan setiap pemberhentian di Shell, ganjaran anda berganda, yang dibuat lebih lancar melalui aplikasi Shell.

“Sejak kami melancarkan aplikasi Shell pada 2023, kami telah menerima maklum balas yang sangat baik mengenai cara kami dapat meningkatkan pengalaman pembayaran. Kami teruja untuk melancarkan aplikasi Shell yang ditingkatkan tidak lama lagi, menjadikannya cara pilihan untuk membayar minyak di Shell. Kemas kini ini mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan, memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan lebih banyak faedah dan pengalaman yang lebih lancar,” kata Seow Lee Ming, Pengarah Urusan Shell Malaysia.

Mercedes-Benz GLC350e Coupe, AMG GLC43 Coupe tiba di Malaysia – dari RM425,888

Turut dilancarkan di samping G63, SL63, GLE63S dan GLE63 S Coupe adalah dua varian GLC Coupe iaitu GLC350e 4Matic Coupe dan GLC43 4Matic Coupe.

Hadir sebagai pengganti GLC300 4Matic Coupe, GLC350e dijual pada harga RM425,888, manakala GLC43 pula berharga RM498,888.

GLC350e 4Matic Coupe

Model hibrid plug-in (PHEV) ini menampilkan enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 204 PS pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Apabila digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 135 PS (100 kW) dan 440 Nm, GLC350e mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 313 PS dan 550 Nm.

Dilengkapi dengan transmisi 9G-Tronic dan sistem pacuan 4Matic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan tenaganya daripada bateri voltan tinggi berkapasiti 25.4 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 131 km mengikut kitaran WLTP. Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 11 kW.

Dari segi kelengkapan, GLC350e menawarkan kelengkapan yang sama dengan GLC300. Ini bermakna ia didatangkan dengan kit badan AMG Line, rim AMG 20 inci, lampu Digital Light dan bumbung suria panoramik.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Artico, kemasan mikrofiber Microcut, skrin sentuh infotainment 11.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, panel instrumen 12.3 inci, dan sistem audio Burmester 3D.

Tambahan baru pada GLC350e adalah sistem Driving Assistance Package Plus yang merangkumi ciri-ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Blind Spot Assist.

Turut disertakan adalah ciri Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist dengan PARKTRONIC.

GLC43 4Matic Coupe

Seterusnya, GLC43 4Matic Coupe merupakan model Mercedes-AMG kedua yang dipasang di Malaysia selepas C43. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 421 PS dan 500 Nm.

Membantu enjin berkenaan adalah sistem mild hybrid RSG yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 kW (14 PS) apabila perlu. Selain itu, ia juga membolehkan fungsi coasting dan pemulihan tenaga untuk memaksimumkan kecekapan.

Dengan transmisi AMG Speedshift MCT 9G dan sistem pacuan semua roda 4Matic, GLC43 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Ia dilengkapi dengan sistem suspensi AMG Ride Control dengan ciri redaman adaptif, kawalan stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah, dan juga program pemanduan Dynamic Select.

Dari segi penampilan, GLC43 boleh dibezakan dengan GLC350e menerusi elemen-elemen tertentu seperti gril radiator Panamericana, rekaan sayap jet dan liang intake yang besar pada apron depan, skirt sisi AMG dan rim AMG Y-spoke berukuran 21 inci.

Ia juga didatangkan dengan lampu Digital Light dan AMG Night Package yang merangkumi elemen-elemen yang dicat dalam warna hitam berkilat.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman GLC43 menampilkan suasana yang sporty menerusi kerusi AMG yang dibalut kulit buatan manusia Artico dan Microcut, stereng flat bottom AMG Performance, paddle shifter aluminium, trim gentian karbon dan tali pinggang Manufaktur berwarna merah.

Tidak cukup dengan itu, sistem infohibur MBUX GLC43 mempunyai fungsi dan paparan spesifik AMG. Ini termasuk paparan Supersport pada skrin sentuh multimedia dan head-up display dan sistem AMG Track Pace untuk digunakan di litar.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk sistem audio Burmester 3D, navigasi realiti terimbuh (AR), Keyless-Go Comfort Package, sistem kawalan iklim Thermotronic dan Driving Assistance Package Plus.

Mercedes-AMG GLE63S 4Matic+ masuk pasaran Malaysia – dari RM1,191,888

Di samping G63 dan SL63, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperluaskan barisan GLE menerusi pelancaran dua varian AMG iaitu GLE63S dan GLE63S Coupe.

Harga jualan (OTR tanpa insurans) bermula dari RM1,191,888 untuk GLE63S dan RM1,229,888 untuk GLE63S Coupe.

Seperti yang dijangka, kedua-duanya berkongsi nadi yang sama iaitu enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 612 PS dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm.

Enjin ini dibantu oleh sistem mild hybrid yang terdiri daripada Integrated Starter Generator (ISG) dan sistem elektrikal 48 volt yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 22 PS (16 kW) dan 250 Nm.

Dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang memacu roda menerusi sistem 4Matic+, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Jika ini tidak cukup laju, pelanggan boleh mendapatkan AMG Driver’s Package yang membolehkan SUV itu mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi iaitu 280 km/j.

Bagi memastikan prestasi yang terkawal pada kelajuan tinggi, kedua-dua GLE63S dan GLE63S Coupe didatangkan dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan redaman adaptif boleh laras, limited slip differential pada gandar belakang, dan Electronic Stability Program (ESP) yang ditala semula.

Dari segi penampilan, GLE dan GLE Coupe kini tampil dengan lampu Multibeam LED baharu dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus, dan rim berukuran 22 inci dengan angkup brek AMG berwarna merah.

Di belakang, terdapat lampu LED baharu, sistem ekzos AMG Performance dan spoiler untuk versi Coupe. Turut disertakan adalah AMG Night Package yang menampilkan elemen-elemen hitam berkilat dan krom gelap.

Ruang dalaman yang mewah diserlahkan lagi dengan upholsteri kulit Nappa berwarna hitam yang dipadankan dengan trim gentian karbon, serta stereng gentian karbon AMG Performance.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuk sistem MBUX generasi terkini, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem navigasi realiti terimbux (AR), port pengecas USB 100W, dan sistem audio Burmester 3D dengan 13 pembesar suara.

Sebagai model berprestasi tinggi, GLE63S dan GLE63S Coupe juga didatangkan dengan sistem AMG Track Pace yang memaparkan maklumat seperti lap, sektor, masa pecutan dan data telemetri bagi membantu pemandu meningkatkan kemahiran memandu mereka di litar.

MG Malaysia umum promosi akhir tahun, ansuran percuma sehingga 20 bulan

Bersempena dengan sambutan ulang tahun MG yang ke-100, SAIC Motor Malaysia mengumumkan kempen promosi akhir tahun untuk model kenderaan MG4 EV dan MG ZS EV.

Kempen terbaharu ini menawarkan ansuran percuma sehingga 20 bulan bernilai RM26,000 untuk model MG ZS EV.

Pelanggan juga boleh menikmati 12 bulan ansuran percuma (RM16,000) untuk model MG4 EV Lux, atau ansuran 8 bulan percuma bernilai RM8,500 untuk model MG4 EV Standard.

Mengikut spesifikasi, MG ZS EV (RM126,629) merupakan SUV elektrik segmen B yang hadir dengan motor elektrik tunggal berkuasa 176 PS dan 280 Nm, menawarkan jarak gerak sejauh 320 km mengikut data WLTP.

Sementara hatchback EV MG4 versi standard (RM104,629) dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pacuan belakang berkuasa 170 PS/250 Nm, dengan jarak gerak sejauh 350 km untuk sekali cas penuh.

Varian MG4 Lux (RM129,620) pula mendapat motor elektrik yang lebih berkuasa, 203 PS/250 Nm dipadankan dengan pek bateri 64 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 435 km.

Orang ramai dijemput untuk memandu uji MG4, MG ZS EV, serta model-model lain di Bilik Pameran Pengedar Sah MG Motor yang terdekat.

Jualan Proton naik 13.6 peratus sepanjang Oktober 2024, Saga kekal model paling laris

Sepanjang bulan Oktober, Proton telah merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit untuk pasaran domestik dan eksport, dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan terdahulu.

Ini menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton naik kepada 125,557 unit dan meletakkan jenama kereta nasional itu ditempat kedua dalam kedudukan jualan automotif negara.

Daripada jumlah tersebut, Proton Saga kekal menjadi pilihan popular di kalangan pembeli dengan jumlah sebanyak 6,112 unit dicatatkan dan jumlah YTD mencecah 60,178 unit.

Proton juga berharap angka jualan Saga dapat menembusi paras 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut tahun ini.

Walaupun Saga tidak berjaya menjadi pendahulu di dalam segmennya, terdapat tiga model Proton lain mengekalkan kedudukan teratas di dalam segmen masing-masing.

Proton X50 menjadi SUV segmen B yang paling laris terjual sepanjang bulan lepas, dengan 2,122 unit dicatatkan, manakala Proton S70 pula kembali ke tangga teratas sebagai sedan segmen C terlaris dengan jumlah jualan 1,432 unit.

Model flagship Proton X90 pula kekal sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan jumlah sebanyak 245 unit direkodkan untuk bulan lepas.

Dalam masa yang sama, Proton mendedahkan model EV pertama syarikat itu, e.MAS 7 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan (Disember 2024).

Mercedes-AMG SL63 4Matic kini di Malaysia – RM1,898,888

Tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan Mercedes-AMG SL43. Kini, syarikat itu membawakan pula varian yang lebih padu iaitu SL63 4Matic+.

Harga jualan (OTR tanpa insurans) adalah RM1,898,888, iaitu RM899,000 lebih mahal berbanding SL43.

Tidak seperti SL43 yang mempunyai enjin 2.0-liter empat silinder yang kecil dengan pacuan roda belakang, jentera ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT 93. Kuasa disalurkan ke menerusi sistem 4Matic+.

Bercakap tentang kuasa, enjin buatan tangan itu menghamburkan 585 PS dan 800 Nm, membolehkan roadster ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 315 km/j.

Prestasi dinamik SL63 diperkuatkan lagi dengan pakej AMG Dynamic Plus yang merangkumi locking differential gandar belakang, cagak enjin AMG, dan program tambahan yang dikenali sebagai Race.

Untuk sistem suspensi, ia dilengkapi dengan AMG Active Ride Control dengan penstabil anti-oleng aktif. Turut disertakan adalah kawalan stereng gandar belakang.

Dari segi bahagian luaran, SL63 dilengkapi dengan AMG Night Package II, AMG Exterior Carbon Package, lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim 21 inci dan angkup berwarna kuning.

Jika model generasi sebelum ini didatangkan dengan bumbung hardtop, SL generasi R232 ini mempunyai bumbung jenis soft top yang boleh dibuka/ditutup dalam 15 saat, pada kelajuan sehingga 60 km/j.

Di dalam, terdapat kerusi AMG Performance yang dibalut kulit Nappa, pelapik bumbung Manufaktur berwarna hitam, Microcut microfibre, trim karbon dan stereng AMG Performance.

Sistem infohibur terdiri daripada skrin berukuran 11.9 inci, sistem MBUX Interior Assistant dan sistem audio Burmester. Driving Assistance Package turut tersedia.

Mercedes-AMG G63 facelift dilancarkan di Malaysia – RM1,948,888

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan enam model baharu ke pasaran tempatan, dan yang paling utama adalah Godfather of SUV iaitu Mercedes-AMG G63.

Dari segi reka bentuk, anda mungkin menyangka tiada sebarang perubahan namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, G63 kini mendapat bampar depan baru dengan bilah menegak pada lubang intake.

Rupanya yang gagah itu dilengkapkan lagi dengan pakej AMG Night yang membawakan elemen hitam atau krom gelap, rim AMG berukuran 22 inci dan angkup brek AMG berwarna merah.

Di dalam, rekaan kekal sama, diadun dengan ciri-ciri seperti pakej Superior Line, bumbung panoramik, kulit Nappa, tempat duduk dengan fungsi urut dan kawalan iklim, serta trim gentian karbon pada pintu dan papan pemuka.

Dari segi kelengkapan, terdapat dua skrin masing-masing berukuran 12.3 inci, sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX), sistem audio Burmester 3D, sepasang skrin untuk penumpang belakang, stereng AMG Performance dan pencahayaan ambien.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang dipadankan dengan Integrated Starter-Generator (ISG) dan teknologi 48-volt, menjadikannya model mild hybrid. Gandingan ini menghasilkan 585 PS pada 6,000 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm.

Dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang memacu keempat-empat roda, G63 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 220 km/j.

Berita baik, mereka yang inginkan lebih kelajuan boleh mendapatkan pakej AMG Performance yang meningkatkan kelajuan maksimum kepada 240 km/j.

Untuk sistem suspensi, model ini menggunakan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan penstabil olengan hidraulik aktif dan redaman adaptif boleh laras.

Sistem keselamatan terdiri daripada Parking Assist Parktronic, Active Parking Assist, Active Lane Keeping Assist, sistem Pre-Safe, Blind Spot Assist, Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist dan pelbagai lagi.

Harga jualan bermula dari RM1,948,888 on-the-road tanpa insurans.

Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak bermula tahun depan

Laman berita Kosmo! melaporkan projek pelebaran lorong tambahan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) akan dimulakan pada Januari 2025 dan dijangka siap menjelang tahun 2029.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh pihak AFA Prime Berhad (dahulu dikenali sebagai ANIH Berhad) selaku pemegang konsesi Lebuh Raya KLK.

Menurutnya, projek pelebaran Lebuh Raya KLK ini akan melibatkan jarak sepanjang 45.3 kilometer (km) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.

“Ketika ini, pihak syarikat Konsesi sedang di dalam proses untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak yang dijangkakan bermula pada Januari 2025.

“Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan perjanjian konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuh Raya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029,”kataya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkenaan rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuh Raya KLK dan adakah laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara skop kerja pelebaran Lebuh Raya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah).

Selain itu katanya, penambahan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).

“Skop kerja ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur,” jelasnya.

Penggunaan kenderaan NGV ditamatkan mulai Julai 2025 – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa kenderaan yang menggunakan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya mulai 1 Julai 2025.

Menurut Loke, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

Sehubungan itu, Petronas akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat.

Loke dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah di antara tahun 1995 sehingga 2014.

“Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.

“Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun, dan sekiranya tidak diganti, ianya tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat,” katanya.

Bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) telah mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.

Program Bantuan Peralihan tersebut terdiri daripada tiga pakej iaitu:

  • Pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak
    Setiap pemandu berdaftar yang layak akan menerima e-baucar sebanyak RM3,000 yang akan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off.
  • Pakej menanggalkan kit NGV
    Untuk tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV. Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja.
  • Pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV
    Pakej ini menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.

Permohonan bagi menyemak kelayakan dan mendapatkan pakej peralihan dibuka mulai hari ini di www.peralihanngv.com.

Denza D9 sah masuk pasaran Malaysia suku pertama 2025

Pada Oktober lalu, sub-jenama premium di bawah naungan BYD iaitu Denza telah disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dengan Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia sebagai pengedar rasmi.

Model pertama yang akan ditawarkan adalah Denza D9, yang akan tiba ke pasaran tempatan sekitar suku pertama 2025. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Zeekr 009, Maxus Mifa 9 dan juga duo Toyota Alphard/Vellfire.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui namun kami boleh sahkan yang BYD Malaysia akan membawa masuk versi elektrik-bateri (BEV) memandangkan setakat ini hanya model itu yang boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Di China, selain versi BEV, D9 juga boleh didapati dalam versi PHEV yang menampilkan enjin 1.5-liter.

Untuk versi BEV, terdapat dua konfigurasi trenkuasa iaitu pacuan roda depan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian FWD menampilkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Sementara itu, varian AWD dengan motor elektrik berkembar mempunyai 374 PS (275 kW) dan 470 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak WLTP sejauh 520 km untuk FWD dan 480 km untuk AWD.

Dari segi saiz, D9 mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding Zeekr 009 tetapi tapak rodanya 95 mm lebih pendek berbanding pesaing terdekatnya itu.

MPV elektrik itu mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (dengan ketinggian sehingga 180 cm) dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua.

Ruang kargonya pula dikatakan boleh memuatkan tujuh beg pakaian berukuran 20 inci dan tujuh beg galas.

Sesuai dengan statusnya sebagai MPV premium, D9 menampilkan pelbagai ciri mewah seperti upholsteri kulit Nappa, fungsi penyejuk dan pemanas, fungsi urut, bumbung kaca panoramik, dan peti sejuk kecil berkapasiti 7.5 liter.

Untuk sistem infohibur pula, terdapat panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W.

Harga untuk pasaran Malaysia juga belum diumumkan. Di China, D9 BEV dijual pada harga antara 379,800 yuan dan 469,800 yuan (RM233,648 hingga RM289,015).