fbpx

Mercedes-Benz E-Class W214 kini di Malaysia – dua varian, harga dari RM356k

Mercedes-Benz E-Class W214

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model sedan E-Class generasi ke-10 (W214) untuk pasaran tempatan.

Sedan eksekutif itu ditawarkan dalam dua varian yang dipasang secara tempatan iaitu E200 Avantgarde Line dan E350e AMG Line. Harga jualan bermula dari RM355,888 untuk E200 dan RM418,888 untuk E350e.

E200 merupakan model mild hybrid yang menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder dengan 204 hp/320 Nm, dan Integrated Starter-Generator (ISG) yang membekalkan tenaga tambahan sebanyak 17 kW dan 205 Nm.

Hasilnya, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.

Sementara itu, E350e pula menampilkan trenkuasa hibrid plug-in yang menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 500 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, varian ini boleh bergerak sejauh 118 km dan memecut sehingga 140 km/j dengan menggunakan kuasa elektrik yang dibekalkan oleh bateri bervoltan tinggi dengan kapasiti 25.4 kWj.

Apa yang menarik, selain pengecas AC 11 kW, E350e turut menyokong pengecasan pantas sehingga 55 kW yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengecas bateri dari 10% hingga 80%.

Selain trenkuasa, E200 dan E350e juga banyak berbeza dari segi penampilan dan kelengkapan. Sebagai varian tertinggi, E350e tampil lebih garang berbanding E200 dengan kit badan AMG Line dan rim aloi AMG berukuran 20 ini.

Selain itu, varian itu juga didatangkan dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, serta bumbung suria panoramik.

Di dalam, E350e dilengkapi dengan sistem MBUX Superscreen yang merangkumi tiga skrin iaitu panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.4 inci dan skrin penumpang 12.3 inci.

Sistem infohibur MBUX kini mempunyai App Store di mana pengguna boleh memuat turun pelbagai jenis aplikasi seperti TikTok, Angry Birds, Zoom, Webex dan pelbagai lagi.

Untuk aplikasi persidangan video seperti Zoom dan Webex, pengguna boleh membuat panggilan atau rakaman video menggunakan kamera swafoto yang terletak di atas papan pemuka.

Bukan itu sahaja, aplikasi penstriman muzik seperti Spotify dan Apple Music juga telah diintegrasikan ke dalam sistem MBUX.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan pencahayaan ambien (Active Ambient Lighting pada E350e) yang membaluti bahagian hadapan panel instrumen dan panel pintu.

Selain itu, E-Class kini menawarkan fungsi kunci kenderaan digital yang membolehkan pengguna membuka kunci atau menghidupkan enjin dengan menggunakan iPhone atau Apple Watch.

Sebagai pelengkap pakej, varian E350e juga mendapat sistem audio Burmester 4D dengan 21 pembesar suara, termasuk dua transducer pada setiap tempat duduk untuk fungsi urutan akustik.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved