fbpx

Jualan Proton lepasi angka 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut

Proton X50

Proton mengumumkan ia menjual 12,690 unit kenderaan (domestik dan eksport) untuk bulan Ogos 2024, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencecah 101,489 unit.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, ini merupakan tahun keenam berturut-turut ia berjaya merekodkan jualan melebihi 100,000 unit.

Pencapaian ini membolehkan Proton kedudukan kedua dalam keseluruhan jadual kedudukan jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 19%.

Jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan telah meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan kepada kira-kira 72,678 unit pada bulan Ogos.

Secara keseluruhan, angka tahun hingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan sebanyak 534,766 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun 2023.

Proton X50 2024 yang dilancarkan pada Jun lalu mendapat sambutan hangat daripada pembeli dengan 2,440 unit diserahkan pada bulan lalu – kali ketiga jualannya mencecah angka 2,000 pada tahun ini. Jualan YTD kini berjumlah 15,229 unit, menjadikan X50 sebagai SUV paling popular dalam rangkaian Proton.

Jualan Saga pula mencecah 6,211 unit, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini sebanyak 48,904 unit. Ini adalah peningkatan sebanyak 6.7% berbanding YTD tahun lepas.

Sementara itu, Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,452 unit, menjadikan jumlah jualan sehingga kini sebanyak 13,116 unit, manakala Iriz menambah 403 unit kepada volum jualan Ogos, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 3,719 unit.

“Memandangkan ekonomi domestik yang berdaya tahan, dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4% hingga 5%, Proton bersetuju dengan keputusan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk meningkatkan unjuran TIV setahun penuh kepada 765,000 unit dan kami kekal optimistik mengenai potensi pertumbuhan lanjut dalam industri automotif tempatan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Untuk eksport pula, Brunei mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 120 unit terjual. Model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului kumpulan model lain dengan 140 unit dieksport pada bulan Ogos.

Model-model lain juga mencatatkan peningkatan dalam penghantaran eksport pada bulan Ogos, menjadikan jumlah keseluruhan jualan eksport Proton kepada pengedar sebanyak 2,110 unit sejak Januari tahun ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved