7 kereta lumba Proton zaman silam yang wajib anda tahu
SEMPENA bulan kemerdekaan ini, kami ingin kongsikan satu artikel berkenaan Proton, salah satu pengeluar kereta nasional. Tetapi khususnya, perkongsian kali ini ialah tentang kereta lumba Proton dari masa silam.
Sebelum ini, Proton mempunyai beberapa jentera lumba seperti Saga dan Iriz di bawah pasukan R3 yang berentap dalam S1K (Sepang 1000km). Terbaharu, Proton bakal mempertaruhkan S70 R3 pula untuk perlumbaan tersebut.
Terdapat juga Proton Iriz R5 yang bersaing dalam kejuaraan-kejuaraan rali di luar negara, tetapi ini adalah hasil kerja Mellors Elliot Motorsport yang berpangkalan di UK.
Apa pun, untuk sedikit elemen nostalgia dan sejarah, jom kita lihatkan jentera-jentera lumba Proton masa silam.
1. Proton Waja BTCC
Waja BTCC merupakan projek Petronas dan telah dibangunkan untuk bersaing dalam kejuaraan British Touring Car Championship (BTCC) bermula 2002. Difahamkan terdapat juga jurutera dari Petronas yang terlibat dalam penghasilan Waja ini.
Ia dipacu enjin Renault 1.8-liter yang terdapat pada Waja Premium 1.8L tetapi telah ditala menjadi 1,996cc oleh Mountune dan digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dari Xtrac.
Suspensi pula adalah gabungan spring Eibach dan penyerap hentak Penske sebelum ditukar kepada Ohlins pada 2004. Waja BTCC pernah dipandu oleh anak tempatan iaitu Fariqe Hairuman.
2. Proton Persona BTCC
Satu lagi jentera Proton yang berentap dalam kejuaraan touring car berprestij di UK ialah Persona, kali ini oleh pasukan Welch Motorsport.
Mereka menggunakan Persona selama lima tahun untuk BTCC. Kelas perlumbaan ini menggunakan piawaian yang sama iaitu enjin 2.0-liter turbo, suspensi, elektronik, dan kotak gear yang sama untuk semua pasukan.
Difahamkan enjin Persona BTCC ini mampu menjana 408hp!
3. Satria Neo S2000
Mungkin ini kereta lumba Proton paling popular dalam kalangan senarai ini. Bukan sahaja kerana ia digunakan untuk acara-acara rali di luar negara, tetapi juga kerana pernah ditampilkan dalam rancangan Top Gear.
Walaupun terdapat perkataan S2000 pada namanya, ia tidak menggunakan enjin Honda S2000 seperti yang disangka ramai netizen. Sebaliknya, S2000 merujuk kelas FIA Super 2000 rali iaitu kejuaraan yang disertainya.
Enjin adalah dari Waja 1.8 dengan komponen dalaman perlumbaan, dan sesarannya ditingkatkan kepada 1,998cc, secara asasnya menjadi 2.0-liter. Ia menghasilkan sekitar 278hp pada 7,600rpm.
Satria Neo S2000 juga mendapat kit badan agresif yang lebar, sistem pacuan empat-roda, roll cage ChroMo Steel Tube, kotak gear Xtrac 6-kelajuan dengan LSD, dan brek dari Alcon.
4. Proton Gen2 dan Satria Neo MSS
Jentera seterusnya kami sekalikan, iaitu Satria Neo dan Gen2 yang digunakan untuk Malaysian Super Series (MSS) pada 2011.
Kedua-dua kereta ini adalah dari pasukan rasmi Proton R3 dan menggunakan enjin 1.6-liter untuk kategori 1.6 Touring Car.
Satria Neo R3 dipandu oleh Faidzil Alang manakala Gen2 R3 oleh Syafiq Ali dan mereka mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang musim perlumbaan.
5. Proton PERT Saga Iswara 4WD Turbo
Seterusnya dalam senarai ialah sebuah jentera yang cukup cool bagi kami, iaitu Proton PERT Saga Iswara 4WD Turbo. Ya, ia dilengkapi dengan enjin turbo dan sistem pacuan 4WD, cukup radikal dari versi standard.
Jentera ini digunakan untuk rali Group S dari 1991 hingga 1994. Nadinya ialah enjin 2.0-liter DOHC 16 injap dengan MoTEC Engine Management System, menghasilkan 337hp! Kotak gear ialah jenis sequential 6-kelajuan dengan coupling tengah dan LSD di depan dan belakang.
Spesifikasi cukup mantap!
6. Proton Wira PERT AWD Turbo
Satu lagi jentera PERT untuk kegunaan rali, iaitu Proton Wira yang juga dilengkapi dengan enjin turbo, sistem AWD, bersama rim putih yang sangat cool.
7. Bonus: Proton Satria GTI (permainan video)
Terakhir dalam senarai kita kali ini merupaka satu bonus, kerana ianya jentera lumba dalam permainan video!
Proton Satria GTI versi perlumbaan dalam permainan TOCA Race Driver yang diterbitkan pada 2005 untuk platform Play Station 2, Windows, dan Xbox. Penulis masih ingat memandu Satria GTI ini di litar Monza, Itali dalam permainan ini. Mengimbau kenangan!
Kredit: Tekan Minyak, Careta, Autobuzz, The Checkered Flag UK, Paultan, Proton Motorsports, Wapcar, Weekend Octane
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.