Jaecoo Malaysia lancar kelab pemilik J-Club, pelbagai manfaat menanti


JAECOO Malaysia mengumumkan ia sudah memulakan proses penyerahan J7 AWD kepada pelanggan secara berperingkat.
Syarikat itu berkata, 500 unit J7 telah diserahkan setakat ini susulan penyerahan 500 unit pertama J7 kepada wakil pengedar pada Ogos lalu.
“Kami benar-benar menghargai keterujaan yang ditunjukkan oleh para pelanggan yang tidak sabar-sabar untuk memandu pulang SUV Jaecoo J7 impian mereka ke rumah atau dalam pengembaraan mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar.
Di samping komitmen kami untuk menyerahkan kenderaan mengikut jadual, JAECOO Malaysia melaburkan masa dan usaha yang diperlukan untuk memastikan semua kenderaan bermutu tertinggi dan memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat,” ujar Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
Bagi versi 2WD pula, Jaecoo berkata ia kini dalam persiapan untuk menyerahkan model itu kepada wakil pengedar lebih awal dari jadual asal pada bulan September.
Dalam pada itu, Jaecoo turut mengumumkan pelancaran kelab pemilik yang dikenali sebagai J-Club. Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, setiap pemilik kenderaan Jaecoo akan menjadi ahli J-Club elit secara automatik.
“Antara manfaatnya termasuk seorang kakitangan servis Jaecoo yang terlatih dikhususkan untuk setiap pemilik demi ketenangan fikiran mereka,” kata Emily.
J-Club juga akan membolehkan pemilik menikmati tawaran tempoh terhad untuk perkhidmatan penyenggaraan dan peluang untuk menyertai aktiviti sosial seperti acara anjuran J-Club termasuk aktiviti glamping dan bengkel penjagaan kereta.
Ahli-ahli juga akan menerima jemputan eksklusif yang melibatkan kerjasama artis, jemputan ke pameran auto dan berpeluang untuk mengunjungi kilang jenama ini di China.
Jaecoo akan menganjurkan acara sulung J-Club pada 7 September dari jam 5.30 petang hingga 10.00 malam di Sentul Pavilion, Kuala Lumpur.
Ahli-ahli J-Club akan diberikan maklumat terkini tentang Jaecoo menerusi e-mel, platform sembang seperti WhatsApp dan WeChat, dan juga laman Facebook J-Club.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.