fbpx

Proton X70 2025 diperkenalkan di Sabah dan Sarawak, bermula RM101k

proton east malaysia 04

Setelah diperkenalkan kepada umum pada 15 Ogos, Proton X70 2025 telah dilancarkan di Sabah dan Sarawak pula. Ini juga menandakan kali pertama Proton mengadakan pelancaran berasingan untuk model SUVnya khusus untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak.

X70 2025 hadir dengan gaya luaran yang lebih segar, peralatan dalaman yang dipertingkatkan, teknologi keselamatan ADAS tahap 2 yang terkini.

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Proton X70 2025 ke Sabah dan Sarawak, dua negeri yang semakin penting bagi Proton,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Majlis ini lebih daripada sekadar memperkenalkan kenderaan baru; ia adalah tentang memperkukuhkan komitmen kami kepada Sabah dan Sarawak.

“Keperluan unik pembeli di sini dan hubungan mereka yang kuat dengan jenama ini sentiasa mendorong kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan terbaik.

“Dengan ciri-ciri yang dikemas kini dan gaya yang dipertingkatkan, kami berharap X70 2025 akan membawa Proton ke kedudukan teratas dalam pasaran SUV premium di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Menurut Proton, X70 facelift ini mempunyai 360 bahagian baharu, dan proses R&D mengambil masa 290,000 jam. Ujian jalan raya telah dijalankan melibatkan jarak sejauh 4.2 juta km.

Proton X70 2025 mendapat wajah lebih segar yang diambil dari Geely Boyue facelift 2022. Selain lampu LED baharu, ia tampil dengan gril lebih besar dengan perincian ala berlian, serta bonet, bampar dan dapra yang direka semula.

Untuk belakang, terdapat bampar baharu dengan pemantul melintang. Rim aloi juga diberi rekaan terkini, dengan saiz 18-inci untuk Executive dan 19-inci.

Lima warna boleh dipilih untuk X70 baharu ini iaitu Snow White, Armous Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baharu Marine Blue.

Papan pemuka direka semula, kini menampilkan trim berwarna hitam piano dan pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang berubah mengikut muzik.

Di bahagian tengah papan pemuka adalah skrin infotainmen 12.3-inci baharu. Buat pertama kalinya untuk Proton, Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Selain itu, X70 2025 mendapat stereng baharu, paparan baharu pada panel meter LCD dan upholsteri kulit Nappa dalam warna Stone Grey.

Dari segi kelengkapan, X70 kini tampil dengan Walk Away Auto Lock, manakala pintu but kuasanya kini mempunyai fungsi Nearby Auto Open untuk operasi bebas tangan.

ADAS tersedia pada varian Premium dan Premium X. Ia merangkumi beberapa ciri baharu iaitu Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Intelligent Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Centering Control, Traffic Sign Information dan Rear Collision Warning.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDI tiga silinder yang menghasilkan 175hp pada 5,500rpm dan 255Nm dari 1,500-4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Berikut adalah harga Proton X70 2025 di Sabah dan Sarawak:

X70 Standard: RM100,800
X70 Executive: RM112,800
X70 Premium: RM125,800
X70 Premium X: RM1268,800

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved