Proton hantar 261 unit model siri X ke Trinidad & Tobago pada 2024, melebihi sasaran volum


PROTON berkata ia telah bekerjasama dengan ANSA Motors Limited di Trinidad dan Tobago sejak bulan Mac tahun ini.
Setakat ini, pengeluar kenderaan nasional itu telah menghantar 261 unit kenderaan ke negara tersebut pada tahun 2024 iaitu 101% daripada sasaran volumnya. Ini menjadikan keseluruhan kenderaan Proton yang dihantar ke sana sebanyak 366 unit sejak tahun kalendar 2023.
Menurut Proton, ia telah melancarkan X90 dan X50 di negara kepulauan Caribbean itu sejak 13 Mac tahun ini. Dengan permintaan tempatan yang semakin meningkat, ANSA Motors meningkatkan sasaran jualan mereka kepada 300 unit pada tahun 2024.
Rakan pengedar tempatan itu mempunyai pengalaman selama satu abad dalam industri automotif, dan ia dipilih oleh Proton berdasarkan rekod yang mengagumkan dan latar belakang automotif yang kukuh.
Walaupun dengan populasi hanya 1.5 juta, perkembangan industri automotif Trinidad dan Tobago sejajar dengan negara-negara yang lebih maju, dengan pembeli kereta semakin cenderung kepada ciri-ciri baru seperti hibrid dan kenderaan elektrik (EV).
Tambah syarikat itu, dengan peningkatan pendapatan per kapita yang semakin meningkat di rantau tersebut, kenderaan mewah semakin menjadi pilihan. Oleh itu, kemunculan jenama baru dan menarik seperti Proton mendapat penerimaan di luar jangkaan.
Kumpulan Syarikat ANSA McAL merupakan salah satu konglomerat terbesar di Trinidad dan Tobago, dengan lebih daripada 25 anak syarikat di seluruh Caribbean.
Ditubuhkan pada tahun 1919, anak syarikatnya ANSA Motors telah menjadi pelopor dalam industri automotif dan telah memperkenalkan jenama automotif global terkemuka ke negara tersebut.
Syarikat berusia 105 tahun itu adalah pengedar Ford pertama di Caribbean dan telah memainkan peranan penting dalam mengubah industri automotif selama beberapa dekad ini, menjadikannya sebagai subjek kajian di sekolah-sekolah tempatan.
“Teknologi dan penetapan harga kenderaan Proton adalah kekuatan yang kami dapat manfaatkan dan kami sangat yakin tentang masa depan. Kami memerlukan jenama yang menawarkan nilai untuk wang dalam segmen yang kami tiada, dan jenama Proton sememangnya memenuhi keperluan tersebut, kata Jerome Borde, Ketua Perniagaan Serantau, ANSA Motors.
Sejak pelancaran, Proton telah mengeksport 6,501 kenderaan siri X ke 18 negara lain, termasuk Trinidad dan Tobago, Brunei, Mesir, Nepal dan Ghana.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.