fbpx

Pusat 3S pertama Jaecoo Malaysia kini dibuka di Glenmarie

Jaecoo Glenmarie

JAECOO Malaysia secara rasminya melancarkan pusat pengedaran pertamanya di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Pusat pengedaran bertaraf 3S ini dikendalikan oleh ES Premium Holdings Sdn Bhd dan akan diikuti oleh pelancaran rasmi 34 pusat pengedaran lagi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dengan pelaburan bernilai RM5.5 juta, pusat pengedaran itu dibina di atas tanah berkeluasan 40,000 kaki persegi dan mempunyai saiz binaan 23,000 kaki persegi.

Ia merangkumi bahagian jualan, perkhidmatan selepas jualan serta simpanan stok alat ganti di bawah satu bumbung.

Sejurus melangkah masuk ke dalam pusat ini, pelanggan akan disambut oleh laluan Super Walkway yang luas bermula dari tingkat bawah ke tingkat satu yang mampu mempamerkan sehingga tujuh model.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri menarik seperti paparan LED interaktif yang membolehkan pelanggan mengimbas spesifikasi setiap model.

Melengkapkan pengalaman ini adalah kehadiran penasihat jualan yang terlatih secara profesional untuk menjawab sebarang pertanyaan daripada pelanggan dan mengatur sesi pandu uji.

Buat masa ini, model yang dipamerkan adalah model Jaecoo J7 yang ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan semua roda (AWD) dan pacuan dua roda (2WD).

Selain itu, pusat ini juga menyediakan pelbagai kemudahan khusus untuk keselesaan pelanggan seperti ruang istirahat, sambungan internet berkelajuan tinggi, surau serta ruang penyerahan kenderaan baharu.

Dikendalikan oleh juruteknik terlatih serta lengkap dengan alatan serba canggih, bahagian selepas jualan mempunyai kapasiti menyelenggara lebih daripada 500 kenderaan sebulan.

Ia juga menampilkan ruang servis kenderaan elektrik (EV), sekali gus membuktikan ketersediaan jenama itu untuk mengurus rangkaian EV-nya dalam masa terdekat.

Menurut Jaecoo, dengan 35 pusat pengedaran sah, rangkaian perkhidmatannya bakal merangkumi kira-kira 180 ruang servis di seluruh negara, disokong oleh gudang alat ganti kereta khusus dan kilang pemasangan di Shah Alam yang dilancarkan baru-baru ini.

Pembukaan pusat 3S Jaecoo di Glenmarie akan diikuti oleh pelancaran SUV kegunaan lasak premium J7 yang akan diraikan selama tiga hari, dari 19 Julai hingga 21 Julai. J7 akan menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan di Malaysia dan rantau ASEAN.

Pusat 3S Jaecoo Glenmarie terletak di No. 2D, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, 40150 Shah Alam, Selangor.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved