Proton catat pengeluaran lima juta unit kenderaan dalam tempoh 41 tahun
PROTON telah mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah 41 tahun penubuhannya apabila berjaya mencapai pengeluaran melebihi lima juta unit.
Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, unit kelima juta yang dikeluarkan merupakan Proton X90 Flagship. Ia diperkenalkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Perindustrian dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanglong.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, Proton ditubuhkan pada 1983 untuk memobilitasikan rakyat Malaysia dan mewujudkan ekosistem automotif tempatan.
“Hari ini, kami terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Lebih daripada 100,000 orang memperoleh mata pencarian hidup melalui aktiviti yang dikaitkan dengan Proton dan setiap pekerja memainkan peranan untuk memacu syarikat ke arah pencapaian lima juta unit ini,” katanya.
Sejak menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Geely pada 2017, Proton telah melancarkan empat model serba baharu, menaik taraf model rekaan tempatannya dan memperkenalkan kecerdasan dan ketersambungan kepada barisan modelnya.
Dengan penambahbaikan dalam kualiti produk, pelaburan dalam pengurusan selepas jualan dan alat ganti serta penubuhan rangkaian pengedar dengan bilangan cawangan 3S/4S tertinggi di Malaysia, aktiviti ini telah membawa kepada pertumbuhan jualan lima tahun berturut-turut dengan peningkatan yang sepadan dalam pengeluaran.
Sejak pengenalan Proton X70 pada 12 Disember 2018, lebih daripada 217,000 unit SUV siri X telah dijual setakat ini kepada pelanggan pasaran tempatan dan eksport. Ini membolehkan Proton jauh menerajui jualan keseluruhan SUV di Malaysia dalam tempoh masa itu.
Penjualan Proton Saga pula telah melepasi dua juta unit, membolehkan ia mengekalkan kedudukannya sebagai kereta buatan Malaysia yang paling popular.
“Baru-baru ini, kami telah mengumumkan e.MAS sebagai jenama untuk produk EV Proton masa hadapan dan hari ini kami telah menetapkan satu lagi pencapaian. Oleh yang demikian, masa depan penuh dengan peluang untuk Proton terus menyediakan mobiliti yang mampan bagi rakyat Malaysia dan pasaran eksport kami,” tambah Dr Li Chunrong.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.