fbpx

Kia EV9 secara rasminya masuk pasaran Malaysia

EV9 Global Reveal
EV9 Global Reveal

DINAMIKJAYA Motors telah melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) terbarunya iaitu Kia EV9. Model itu kini dibuka untuk tempahan dan boleh dipandu uji di mana-mana bilik pameran Kia di seluruh negara, dengan janji temu boleh dibuat secara dalam talian.

Sejak kemunculannya pada Mac 2023, EV9 telah merangkul beberapa anugerah berprestij seperti Kereta Tahunan Dunia 2024 dan Anugerah Terbaik dalam kategori Kereta dan Motosikal oleh Anugerah Red Dot: Rekaan Produk 2024.

Untuk pasaran Malaysia, EV9 ditawarkan dalam varian GT-Line AWD dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk.

Kedua-dua versi mempunyai spesifikasi yang sama namun versi enam tempat duduk mempunyai konfigurasi 2+2+2 dengan kerusi kapten pada barisan kedua, manakala versi tujuh tempat duduk didatangkan dengan konfigurasi 2+3+2.

Harga jualan (OTR tanpa insurans) bermula dari RM374,668 untuk varian enam tempat duduk dan RM369,668 untuk varian tujuh tempat duduk. Model ini diimport sepenuhnya dari Korea Selatan.

Dari segi prestasi, EV9 dipacu oleh dua motor elektrik yang bergabung untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 380 hp dan 700 Nm. Ini membolehkan SUV elektrik itu memecut sehingga 200 km/j.

Untuk bateri pula, ia menggunakan bateri berkapasiti 99.8 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 505 km dengan satu cas penuh.

EV9 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang membolehkan ia dicas dari 10 hingga 80% dalam masa 24 minit. Ia juga dilengkapi dengan pengecasan AC 11 kW yang mengambil masa kira-kira 10.5 jam untuk satu pengecasan penuh.

Seperti EV6, SUV elektrik ini dibina menggunakan platform Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran panjang 5,015 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 3,100 mm.

Bahagian luarannya menampilkan Digital Tiger Face yang merangkumi Digital Pattern Lighting Grille, lampu LED menegak, serta Star Map Lighting pada lampu nyalaan siang dan lampu belakang. Kedua-dua varian didatangkan dengan rim 21 inci.

Terdapat lima warna luaran yang menarik untuk dipilih iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Grey, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green.

Ruang dalaman pula menampilkan skrin berkembar, masing-masing berukuran 12.3 inci, serta paparan segmen lima inci yang membolehkan pemandu mengakses semua fungsi kenderaan, sambil mengurangkan bilangan butang fizikal di dalam kabin.

Apa yang lebih menarik, EV9 tidak mempunyai cermin sisi konvensional. Sebaliknya, ia mendapat kamera luaran yang akan memaparkan suapan menerusi dua skrin kecil yang terletak pada panel pintu kiri dan kanan.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles, port pengecas USB-C di hadapan, tengah dan belakang, pencahayaan ambien dan sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara.

Dengan sistem pengecasan Integrated Charging Control Unit (ICCU) yang fleksibel, EV9 juga mempunyai fungsi Vehicel-to-Load (V2L) yang boleh membekalkan tenaga sehingga 3.6 kWj untuk mengecas pelbagai peralatan elektronik.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat ciri-ciri berikut:

  • High Beam Assist (HBA)
  • Parking Collision-Avoidance Assist (PCA)
  • Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA)
  • Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA)
  • Blind-Spot View Monitor (BVM)
  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Driver Attention Warning (DAW)
  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA2)
  • Lane Following Assist (LFA2)
  • Smart Cruise Control (SCC)

Dinamikjaya Motors menawarkan waranti pengeluar untuk lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved