fbpx

Keputusan ‘Lemon Law’ dibentang di Parlimen Mac tahun depan

Perodua Bezza rosak 8 jam selepas dibeli 02

AKTA baharu atau pindaan undang sedia ada berkait ‘Lemon Law’ akan dibentang di Parlimen seawal penggal pertama tahun depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah melantik pakar perunding dalam menjalankan kajian pewujudan perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bermula bulan ini hingga September.

Tambah beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dibawah kawal selia KPDN.

“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’,” katanya.

 

Jelasnya, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar diperingkat kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna.

“Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu,” ujarnya.

Sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamatkan, Armizan berkata pihaknya melaksanakan dua strategi interim berkuatkuasa 1 Jun bagi pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor.

Strategi lain juga adalah dengan pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara.

“Dua strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved