fbpx

Nissan bakal lancar model e-Power pada separuh kedua tahun ini

Nissan e-Power Malaysia Autoshow 2024 01

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mempamerkan Nissan Kicks e-Power di Malaysia Autoshow 2024.

Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor berkata pihaknya akan melancarkan model e-Power pertama mereka pada separuh kedua tahun ini.

Model apa yang akan dilancarkan tidak diberitahu namun terdapat ura-ura mengatakan yang ETCM akan membawa masuk Serena e-Power.

e-Power merupakan teknologi rekaan Nissan yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan motor elektrik. Salah satu kelebihannya adalah tindak balas yang responsif pada pendikit.

Apa yang menarik, dengan teknologi ini, enjin ditugaskan untuk menjana tenaga elektrik manakala tayar pula digerakkan oleh motor elektrik berkuasa tinggi.

Koponen utama e-Power terdiri daripada bateri litium-ion, motor elektrik berkuasa tinggi, inverter, generator dan enjin pembakaran dengan kecekapan termal terkemuka.

Tidak seperti hibrid konvensional yang menggunakan enjin untuk memacu roda, sistem kawalan pintar e-Power melaraskan operasi enjin secara bebas berdasarkan faktor seperti kelajuan kenderaan, keadaan jalan raya, tahap pecutan dan tahap cas bateri.

Hasilnya adalah pemanduan yang lebih senyap, dengan operasi enjin yang tidak sekerap hibrid konvensional.

Pada kelajuan rendah hingga sederhana, seperti di kawasan bandar misalnya, kenderaan digerakkan oleh motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri litium-ion untuk memberikan prestasi seperti EV.

Pada kelajuan tinggi pula, RPM enjin berada pada tahap yang optimum untuk menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk menggerakkan motor.

Apabila pecutan yang kuat diperlukan, motor akan menggabungkan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh enjin dan tenaga elektrik daripada litium-ion untuk memberi kuasa pada kenderaan.

Sama seperti EV, e-Power juga menawarkan ciri pemanduan satu pedal. Operasi pedal brek boleh dikurangkan hampir 70% menerusi brek janaan semula yang boleh memperlahankan kenderaan sambil mengecas semula bateri.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved