Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibuka Disember

KERAJAAN akan membuka permohonan program Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat pada Disember ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, skim ini akan dibuka kepada rakyat yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Skim berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu untuk menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik di negara ini.

Beliau berkata kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari Sdn Bhd dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik.

“Bagi menterjemah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *