Royal Alloy lancar GP125, GP180 dan GP250 Youth Edition – harga dari RM13,800
ROYAL Alloy, menerusi Mofaz Motosikal Sdn Bhd selaku wakil pengedar, telah melancarkan tiga model skuter daripada siri Grand Prix iaitu GP125 Youth Edition, GP180 Youth Edition dan GP250 Youth Edition.
Model Youth Edition boleh dibezakan dengan versi standard menerusi gabungan warna menarik dan panel sisi telus (transparent) yang diperbuat daripada plastik ABS yang tahan lasak.
Buat masa ini, model Youth Edition boleh didapati dalam dua warna sahaja iaitu putih dengan panel sisi hijau untuk GP125, dan biru dengan panel sisi putih untuk GP180.
Bukan itu sahaja, model Youth Edition juga didatangkan dengan panel meter digital sepenuhnya.
Dari segi spesifikasi, GP125 dikuasakan oleh enjin 125 cc, silinder tunggal empat lejang yang menghasilkan 9.8 hp pada 7,500 rpm dan 9.2 Nm pada 7,000 rpm.
Ia dilengkapi dengan sistem brek gabungan (Combined Brake System, CBS) dan tangki bahan api berkapasiti 10.5 liter.
GP180 pula mempunyai enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 169 cc dengan kuasa sebanyak 10.2 hp dan 10.6 Nm. Ia menggunakan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang, lengkap dengan ABS.
Akhir sekali, GP250 pula didatangkan dengan enjin 244 cc dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 24.8 hp dan 19 Nm.
Antara ciri yang terdapat pada model ini termasuk lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, brek cakera dengan ABS dan tangki bahan api 10.5 liter.
Harga jualan model Youth Edition bermula dari RM13,800 untuk GP125, RM17,300 untuk GP180 dan RM23,800 untuk GP250.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.