PHSAM panggil semula 2,767 unit kenderaan Audi

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan Audi.

Ia melibatkan model-model seperti Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe yang dikilangkan di antara tahun 2008 hingga 2017 yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan tirai.

Berdasarkan kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.

PHSAM menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

“Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan. Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *