fbpx

Elitesoft jalin kerjasama dengan syarikat tempatan, antarabangsa bangunkan industri EV di Malaysia

Copy of RASH3289

ELITESOFT Capital Berhad mengumumkan jalinan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa bertujuan memampankan pembangunan industri EV di negara ini.

Elitesoft merupakan syarikat yang memasarkan barangan-barangan elektronik itu dan kemudiannya mula terlibat dengan pemasaran produk EV.

Syarikat itu menjadi antara pembekal utama motosikal dan skuter elektrik berjenama antarabangsa termasuk Surron, Super Soco, Go Trax, Yamee dan Talaria di Malaysia. Kini ia meluaskan penglibatannya dalam industri EV menerusi pemasangan kenderaan tempatan (CKD).

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata keyakinan untuk meningkatkan pelaburan dalam industri EV didorong oleh sambutan baik terhadap produk tersebut.

Justeru, baru-baru ini telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Roda Prestasi Sdn. Bhd., One Mobile Care Sdn. Bhd., Super Soco, Sarkcyber Technology (Shanghai) Co. Ltd. dan Xiamen Ampace Technology Limited.

Menerusi gandingan dengan Roda Prestasi, Elitesoft membeli sebahagian besar syer syarikat yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah itu. Roda Prestasi pernah menghasilkan motosikal elektrik BOS 2000 sekitar tahun 2018 dan telah banyak terlibat dengan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri EV tempatan.

“Penglibatan Roda Prestasi lebih terarah kepada kerja-kerja CKD di kilang yang beroperasi di Sungai Petani. Kami yakin dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam industri ini, ia akan melonjakkan lagi perkembangan pembangunan EV tempatan,” ujar Pengarah Urusan Elitesoft, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman.

Sementara itu, One Mobile Care yang berpengalaman dalam servis telefon pintar dan pembaikan cip akan memfokuskan kepada servis penyelenggaraan bateri dan alat ganti elektrik.

Setakat ini, ia mempunyai lebih 50 pusat sehenti di seluruh negara bagi memudahkan pengguna EV mengakses khidmat penyelenggaraan dan penukaran bateri dan alat ganti.

Tiga syarikat antarabangsa iaitu Super Soco, Sarkcyber dan Xiamen Ampace yang berpangkalan di China akan terlibat secara rasmi dari segi kerjasama pemindahan teknologi dan kepakaran.

“Untuk peringkat awal, Super Soco dan Sarkcyber akan membantu menyalurkan kepakaran dan melatih tenaga-tenaga tempatan untuk CKD model-model mereka di sini. Fasa seterusnya adalah terhadap penghasilan model-model jenama tempatan,” kata Datuk Mohamad Azri.

Xiamen Ampace pula akan melaksanakan pemindahan teknologi dan kepakaran pembuatan bateri EV, serta pembangunan kilang pembuatan bateri EV di negara ini. Elitesoft akan menyediakan pusat pelupusan dan kitar semula bateri EV sebagai satu inisiatif memastikan kelestarian alam sekitar.

“Kami yakin dengan kerjasama menyeluruh ini, Malaysia dapat mengeluarkan motosikal dan skuter elektrik bertaraf antarabangsa dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Kesemua model yang dikeluarkan itu juga untuk kegunaan komersial dan penguatkuasaan,” kongsi Datuk Mohamad Azri lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved