fbpx

BMW K 1600 B jentera bagger mewah yang berharga RM173,500

bmw k 1600 b 05

BMW Motorrad Malaysia telah mengumumkan ketibaan BMW K 1600 B baharu, sekali gus meluaskan lagi portfolio motosikal berkuasa tingginya di peringkat tempatan bagi segmen jelajah.

Dari segi penampilan, jentera bagger ini mempunyai cermin depan yang lebih rendah, lampu depan LED, pencahayaan aras lantai dan bar hendal tempaan. Bahagian belakangnya kelihatan bergaya dengan lampu isyarat membelok LED dan lampu brek pada peti sisi.

Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Black Storm Metallic dan Manhattan Metallic Matte (Style Exclusive), kedua-duanya dengan kemasan hitam pada bahagian enjin.

K 1600 B dikuasakan oleh 1,649 cc enam silinder sebaris dengan sistem penyejukan minyak/air dan dua aci sesondol overhead yang terletak di atas aci pacuan. Ia menjana 160 hp pada 6,750 rpm dan 180 Nm pada 5,250 rpm, membolehkan motosikal ini mencapai kelajuan maksimum 200 km/j (180 km/j jika dilengkapi dengan panel pemijak).

Menurut BMW, enjin yang mematuhi piawaian EU-5 itu merekodkan kadar penggunaan bahan api 5.9 l/100 km dan tahap emisi sekitar 137 g/km. Ia juga dilengkapi dengan alternator yang hadir dalam bentuk penjana tiga fasa 700 W yang dipadankan dengan abteri 12 V/26 Ah.

Sistem suspensi pula terdiri daripada kerangka jenis titian aluminium, berserta BMW Motorrad Duolever pada bahagian depan dan Paralever pada bahagian belakang.

Untuk sistem elektronik pula, model ini dilengkapi dengan BMW Motorrad Integral ABS Pro, Automatic Stability Control (ASC) dan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah Engine Brake Control (MSR), Dynamic Traction Control (DTC), Hill Start Control (HSC), Electronic Cruise Control,Dynamic ESA Next Generation (dengan Automatic Load Levelling), Gear Shift Assistant Pro, Reverse Assistant dan Tyre Pressure Control.

Sementara itu, maklumat mengenai motosikal dipaparkan menerusi skrin TFT 10.25 inci yang mempunyai fungsi keterhubungan, navigasi dan aplikasi BMW Motorrad Connected. Ruang pengecasan USB-C turut disertakan untuk kemudahan penunggang.

Apa yang menarik, K 1600 B juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang sebelum ini ditawarkan secara pilihan. Ini termasuk penggera anti kecurian, sistem penguncian sentral dan sistem audio 2.0. Pelanggan juga boleh mendapatkan panel pemijak untuk perjalanan jarak jauh yang lebih selesa, serta pelbagai lagi aksesori BMW Motorrad Original.

Harga jualan (atas jalan, dengan waranti 3 tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insuran) ialah RM173,500.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved