fbpx

Prof UPM warga Asia pertama teraju organisasi keselamatan jalan raya global

kulan
Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani adalah rakyat Malaysia pertama menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya. - Foto ihsan UPM

PENSYARAH Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya.

Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani dipilih memegang jawatan itu untuk tempoh dua tahun sehingga 2024, lapor Bernama.

Fakta lebih membanggakan adalah Kulanthayan merupakan rakyat Malaysia dan warga Asia pertama memegang jawatan itu.

UPM dalam kenyataan dikeluarkan berkata, Kulanthayan memiliki pengalaman serta kepakaran luas dalam aspek keselamatan jalan raya.

“Kulanthayan KC Mani telah menjadi Ahli Lembaga Pengarah (organisasi) sejak 2019.

“Mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Pengangkutan dari UPM pada 2002 dan Diploma Keselamatan Lalu Lintas dari Universiti Lund, Sweden pada 2007.

“Beliau juga penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael pada 2017,” menurut kenyataan itu.

Kulanthayan merupakan pengerusi ketiga pertubuhan itu sejak ditubuhkan pada 2011.

Pengerusi pertama dan kedua adalah dari Amerika Syarikat iaitu Jeffrey Witte dan Rochelle Sobel.

Usaha mengurangkan kemalangan jalan raya akan terus diperhebat saban tahun. - Foto fail ihsan JBPM
Usaha mengurangkan kemalangan jalan raya akan terus diperhebat saban tahun. – Foto fail ihsan JBPM

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga adalah ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) sejak 2013.

Selain itu, Kulanthayan juga merupakan Ahli Gabungan Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2020.

Terdahulu, Kulanthayan berjanji melakukan yang terbaik ke arah mencapai sasaran pengurangan 50 peratus jumlah kematian dan kecederaan.

Sasaran itu selaras dengan Pelan Global untuk Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2021-2030.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved