EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasmi merupakan pengedar eksklusif baharu Kawasaki di Malaysia.
Ia turut menyaksikan Kawasaki Motors Ltd (KMC) kini memiliki 30 peratus ekuiti dalam Modenas bersama DRB-HICOM Berhad sebagai pemegang saham majoriti.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan berkata, pihaknya akan terus memastikan produk dan perkhidmatan pelanggan kekal berada pada tahap tertinggi.
Justeru, para pelanggan atau pemilik kenderaan Kawasaki tidak perlu bimbang dengan pengurusan baharu ini.
“Pemilik motosikal Kawasaki tidak perlu bimbang kerana di bawah pengurusan baharu, tahap unggul produk dan perkhidmatan pelanggan akan dikekalkan.
“Rancangan kami termasuk juga untuk memperluaskan operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal Kawasaki untuk peminatnya,” katanya.
Selain itu, Modenas bakal memperkenalkan model terbaharu Kawasaki selain melancarkan bilik pameran eksklusif baharu secara berperingkat.
Modenas juga akan mula memasang model Kawasaki terpilih dan pada masa sama mengimport model dengan enjin yang lebih besar.
Kerjasama Modenas – KMC bukan suatu yang baharu memandangkan kedua syarikat telah menjalani kolaborasi sejak tahun 1996 lagi.
Ianya bermula semenjak koloborasi menghasilkan model paling ikonik Modenas iaitu Kriss.
EMOS melalui pengedarnya bukan sahaja akan menjual motosikal Kawasaki malah, mengedarkan alat ganti dan aksesori di Malaysia.
Pada masa sama, EMOS juga akan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang meliputi semua perkara teknikal dan isu panggil semula atau “recall”.