Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. - Foto ihsan Malay Mail

Modenas lancar kempen baiki motosikal, bantu pelanggan terjejas banjir

BENCANA banjir melanda dua negeri iaitu Selangor dan Pahang mendapat perhatian Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau Modenas.

Modenas dalam satu kenyataan memaklumkan sedia membantu pemilik motosikal keluaran syarikat itu dengan menawarkan perkhidmatan membaiki jentera rosak akibat banjir.

Program dikenali sebagai “Kempen Servis Prihatin Modenas” bermula hari ini sehingga 31 Disember 2021.

“Syarikat bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik untuk membaiki motosikal mereka supaya dapat berfungsi seperti sediakala.

“Kempen akan bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2021 di Pusat Servis Modenas terpilih,” memetik kenyataan dikeluarkan Modenas, hari ini.

Pusat Servis Modenas terlibat dengan kempen ini adalah Pusat Servis Modenas Shah Alam, Selangor dan Pusat Servis Modenas Kuantan, Pahang.

Antara perkhidmatan percuma ditawarkan termasuk caj upah kerja untuk baik pulih biasa, pemeriksaan dan pembersihan motosikal.

Modenas turut memberi diskaun sehingga 25 peratus untuk alat ganti, diskaun 15 peratus untuk alat ganti skuter dan diskaun 70 peratus bagi caj buruh melibatkan servis “overhaul”.

Untuk maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi pusat servis Modenas atau hubungi 1-800-880-181 atau WhatsApp di 019-570 8135.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *