Honda Civic 2022 serba baharu dibuka untuk tempahan, lancar pada Q1 tahun depan!

INI berita yang mungkin dinanti-nantikan oleh ramai peminat Honda Civic di Malaysia, kerana tempahan untuk sedan segmen-C popular itu kini dibuka! Pelancarannya dijangka pada suku pertama tahun depan.

Civic generasi ke-11 dengan kod nama FE membawakan teknologi terkini ditemani “gaya, pengendalian dan prestasi terbaik dalam kelasnya” menurut Honda.

Kita lihatkan ukuran badannya dulu. Dari segi dimensi, Civic FE ini berukuran 4,678mm panjang, 1,802mm lebar, dan 1,415mm tinggi. Ia juga mempunyai jarak roda (wheelbase) 2,735mm dan dikatakan lebih besar dan lebar berbanding Civic sebelum ini untuk memberikannya profil sporti.

Untuk penampilannya, Civic tampil lebih elegan dan lebih matang, hampir seperti sedan mewah Jerman. Jika dilihat di belakang khasnya, tiada lagi rupa Civic ‘ketam’.

Buat pertama kali, Civic RS akan diperkenalkan. Berbanding varian biasa, Civic RS akan mendapat cermin sisi hitam, antena sirip jerung, dan rim aloi hitam 18-inci. Ciri standard di bahagian luar termasuklah lampu LED sepenuhnya berserta DRL.

Pada varian RS seperti dalam gambar ini, Civic dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC turbo yang menjana 182PS dan 240Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT. Nampaknya seperti tiada lagi enjin 1.8-liter, tapi perkara ini masih belum dapat lagi dipastikan.

Terdapat mod pemanduan Econ, Normal dan Sport yang boleh dipilih dari suis Drive Mode. Sudah pasti, mod Sport akan memberikan respon pecutan paling tinggi jika anda mahukan prestasi maksimum Civic FE ini.

Honda Civic 2022 juga akan didatangkan dengan selambak teknologi di bawah ‘payung’ Honda SENSING termasuk sistem terbaharu Lead Car Departure Notification System. Ciri lain adalah:

Adaptive Cruise Control (ACC)
Low-Speed Follow (LSF)
Collision Mitigation Braking System (CMBS)
Forward Collision Warning (FCW)
Lane Keep Assist System (LKAS)
Road Departure Mitigation (RDM)
Lane Departure Warning (LDW)
Auto High Beam (AHB)

Berminat? Honda Civic 2022 boleh ditempah sekarang di semua cawangan pengedar Honda seluruh negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *