Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto ihsan Malay Mail

Lam Thye kecewa, dakwa tiada peruntukan keselamatan jalan raya

PASCA pembentangan Belanjawan 2022, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat meluahkan rasa kecewa dengan pengurangan peruntukan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.

Tan Sri Lee Lam Thye mendakwa, tiada peruntukan khas bagi melaksanakan projek keselamatan jalan raya walau angka kematian akibat nahas amat membimbangkan.

Katanya, Ikatan Komuniti Selamat telah menghantar cadangan kepada kerajaan agar memberi peruntukan terutama membabitkan pembinaan serta penyelenggaraan lorong khas motosikal.

“Nampaknya tiada langsung kemahuan politikal untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menyiapkan lorong motosikal.

“Kalau dilaksana boleh menyelamatkan ribuan nyawa, terutamanya warga muda.

“Ini dapat dibuktikan bukan sahaja berdasarkan kajian berterusan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tetapi juga pemikiran waras,” katanya.

Lorong khas motosikal penting sebagai usaha mengurangkan kemalangan kalan raya.

Ini memandangkan kenderaan motosikal akan diasingkan dengan kenderaan lain di jalan raya yang saiznya jauh lebih besar.

Terdahulu, Lam Thye berharap kerajaan serta ahli politik memainkan peranan lebih besar agar kemalangan motosikal dapat dibanteras.

“Tujuh daripada 10 kematian atas jalan raya adalah daripada pengguna motosikal, sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir kepada Thailand.

“Populariti servis penghantaran semakin meningkat sekarang, jumlah kematian juga akan naik.

“Sehinggalah kerajaan dan pemimpin politik sedar realiti sebenar kematian yang boleh dibendung ini banyak memberikan impak sosial dan ekonomi kepada negara,” katanya lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *