Pengeluaran dan servis Toyota, Lexus kembali beroperasi

KERAJAAN telah membenarkan operasi beberapa sektor ekonomi bermula 16 Ogos lalu dan aktiviti pengeluaran, jualan dan pusat servis Toyota serta Lexus kembali dibuka.

Kesemua aktiviti ini dihentikan sejak 1 Jun 2021 dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata: “Kami mengalu-alukan kelonggaran ini dimana sekatan sebelumnya telah memberi cabaran kepada perniagaan kami dua bulan kebelakangan ini.”

Tambahnya, syarikat itu akan menjalankan operasi mereka dengan mematuhi dengan teliti segala garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan serta pekerjanya.

Pemilik kenderaan yang berhasrat membawa kenderaan ke pusat servis perlu membuat temujanji terlebih dahulu.

Ravindran turut berkata untuk bahagian pengeluaran, kelonggaran ini pastinya membantu mereka memenuhi segala tempahan yang telah tertangguh.

Gambar: Malay Mail

Dua kilang pengeluaran UMW Toyota dan fasiliti berkaitan akan mampu beroperasi pada kapasiti tertentu bergantung kepada peratusan pekerja yang telah divaksinasi. Mereka boleh beroperasi sepenuhnya jika vaksinasi mencapai lebih 80 peratus.

Sementara itu, Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor berkata, “Dengan kelonggaran ini, kami pastinya mempunyai banyak perancangan penting.

“Contohnya, kami telah membuat persediaan pemasangan tempatan (CKD) untuk Toyota Hybrid Electric Vehicle dan kami akan meneruskannya secepat mungkin selepas tertangguh.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *