Seorang pekerja Pos Malaysia sedang bertugas. - Foto ihsan Malay Mail

Pos Malaysia tamatkan khidmat 262 ejen penghantaran

PENAMATAN skim Pos Rider memasuki fasa kedua dengan lebih 262 ejen sekitar Lembah Klang bakal ditamatkan perkhidmatan bermula 1 September depan.

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengakui terpaksa mengambil pendekatan terbabit walaupun ia merupakan satu langkah sukar.

Memetik kenyataan Pos Malaysia, ini kerana pasaran pos dan kurier domestik mengalami perubahan jumlah mel yang terus menurun begitu ketara.

Ia susulan para pemain e-dagang yang mula menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.

“Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat,” memetik satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pos Malaysia berjanji memberi keutamaan kepada ejen terlibat untuk khidmat sambilan sekiranya terdapat peningkatan penghantaran bungkusan.

Langkah itu bagi menghargai jasa dan perkhidmatan ejen terbabit sebagai bekas pekerja Pos Rider.

Program Pos Rider diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan seluruh negara.

Pada 1 Julai, Pos Malaysia telah melakukan fasa pertama rasionalisasi di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *