Rentas negeri: Kerajaan pertimbang kebenaran untuk pasangan dan keluarga lengkap dua dos vaksin

KERAJAAN sedang mempertimbang cadangan membenarkan mereka yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 melakukan perjalanan rentas negeri bertemu keluarga atau pasangan jarak jauh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau sering membawa isu itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan.

Dalam satu siaran di Facebook miliknya, Ismail Sabri berkata, “Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama.

“Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin,” tulisnya dalam siaran itu.

Beliau mengulas susulan komen-komen yang diberikan netizen di media sosial yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri.

Ketika ini, jelas beliau kajian teliti sedang dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebelum dibentangkan kepada kerajaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *