Honda Civic ‘terbang’ dari arah bertentangan rempuh rider Grab

SATU rakaman dashcam tular di media sosial menunjukkan sebuah Honda Civic berwarna putih ‘terbang’ dan merempuh seorang penunggang penghantar makanan Grab.

Dalam kejadian di Kulai, Johor itu, Honda Civic tersebut datang dari arah bertentangan dan hilang kawalan hingga melepasi pembahagi jalan dan terus melanggar rider Grab itu. Difahamkan rider berusia 33 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Video boleh ditonton di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata insiden itu berlaku jam 5:50 petang Selasa (20 Julai), apabila pemandu Civic berusia 29 tahun hilang kawalan.

Siasatan mendapati pemandu itu memandu laju di lorong kiri sebelum cuba menukar lorong. Dia kemudiannya terlanggar sebuah kereta di lorong kanan lalu menyebabkannya hilang kawalan dan terus ke lorong bertentangan sebelum melanggar rider Grab itu.

Rider Grab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perbatan dari Hospital Kulai kerana kecederaan di kepala dan badan. Pemandu Civic pula cedera dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Sementara itu, pemandu di lorong kanan tadi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara merbahaya atau melulu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *