fbpx

Isuzu MU-X facelift tampil lebih agresif, kini dengan varian RS

Isuzu MU-X RS 01

ISUZU MU-X, model SUV yang menggunakan trak pikap D-Max sebagai asas, telah diberikan facelift di Thailand.

Masih dalam generasi kedua, MU-X kini tampil lebih segak dengan lampu depan dan belakang yang lebih tajam, serta bampar baharu yang menempatkan tirai udara. Rim turut diberi rekaan baharu yang lebih segar.

Untuk model tahun 2025, MU-X boleh didapati dalam varian RS yang mempunyai penampilan lebih agresif menerusi gril mesh, serta kemasan hitam pada rim, dapra, bumbung dan cermin sisi. Terdapat juga aksen hijau pada logo RS dan pada rim.

Ruang dalaman turut menampilkan rekaan baharu pada panel instrumen, tempat duduk dan trim pintu, selaras dengan konsep ‘Bold and Dynamic’ yang dibawakan oleh model itu.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuk kluster instrumen digital berukuran tujuh inci, skrin sentuh sistem infotainmen berukuran sembilan inci, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan upholsteri kulit berwarna perang. Varian RS juga mendapat sistem pencahayaan ambien.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan ADAS yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu dan keselamatan bergantung kepada varian. Turut disertakan adalah ciri ‘bonet lutsinar’ ala Land Rover untuk membantu pemandu ketika pemanduan off-road.

Tiada sebarang perubahan pada enjin, bermakna MU-X akan kekal dengan enjin turbodiesel 1.9-liter dengan 148 hp dan 3.0-liter dengan 187 hp. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. 4WD ditawarkan sebagai opsyen namun ia adalah standard pada varian RS.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved