fbpx

Mazda mengaku guna ‘peranti luaran’, perisian kawalan enjin berbeza dalam ujian

Mazda2 Demio

BERIKUTAN skandal ujian keselamatan Daihatsu baru-baru ini, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) Jepun mula melancarkan siasatan ke atas pengeluar-pengeluar domestik yang lain.

Dalam satu kenyataan rasmi, Mazda berkata ia telah menjalankan siasatan ke atas 2,403 ujian ‘Type Designation’ yang dilakukan antara Januari 2014 hingga Januari 2024 dan mengaku terdapat penyelewengan dalam lima ujian melibatkan dua kategori ujian.

Penyelewengan berkenaan, yang telah dilaporkan ke MLIT pada 30 Mei lalu, melibatkan 150,878 unit kenderaan yang telah dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 149,313 unit telah dijual ke pasaran domestik.

Menurut syarikat itu, ia telah menggunakan ‘peranti luaran’ dalam ujian pelanggaran hadapan (frontal collision) bagi Mazda 6 dan Mazda 3, masing-masing dikenali sebagai Atenza dan Axela di Jepun.

Peranti tersebut berfungsi untuk mencetuskan beg udara secara bermasa dalam ujian tersebut. Beg udara sepatutnya diaktifkan secara spontan berdasarkan pengesanan pelanggaran oleh penderia yang terdapat pada kenderaan.

Walaupun model-model berkenaan sudah tidak lagi dikeluarkan, Mazda akan menjalankan semula proses pengesahan teknikal dan melakukan semula ujian bagi memastikan ia mematuhi piawaian perlindungan penumpang.

Selain itu, Mazda turut mengaku bahawa ia telah menggunakan perisian kawalan enjin yang berbeza dalam ujian output enjin petrol bagi MX-5 RF dan Mazda 2.

Perisan tersebut bertindak untuk menyahaktifkan fungsi ignition timing adjust semasa ujian dilakukan, berbeza dengan perisian yang terdapat pada unit-unit yang dijual.

Oleh itu, Mazda berkata ia akan mengubahsuai semula perisian tersebut bagi memastikan ia sama dengan perisian yang terdapat pada unit-unit yang dijual dalam pasaran. Ia juga akan menjalankan semula ujian bagi kedua-dua model tersebut.

Syarikat itu memberi jaminan yang unit-unit terlibat masih selamat untuk dipandu, namun akan menghentikan jualannya buat sementara waktu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved