fbpx

Mercedes akan berhenti guna nama EQ bagi model EV, kembali cara lama

Mercedes-Benz EQS 500 pandu uji 13

MERCEDES dilaporkan bakal menghentikan penggunaan nama ‘EQ’ bagi model-model EV (elektrik sepenuhnya) yang akan datang. Menurut laporan AutoExpress, langkah itu akan dibuat selepas semua EV generasi pertama masa kini tamat hayatnya.

Pengeluar Jerman itu akan kembali menggunakan struktur penamaan tradisional seperti model-model bukan EV mereka.

Pada masa ini, hampir semua model EV Mercedes mempunyai ‘EQ’ pada nama mereka, dari EQA hinggalah EQS.

Hanya satu pengecualian dibuat, iaitu untuk G-Class yang dilancarkan di Beijing bulan lepas. Ia tidak dipanggil EQG seperti yang dijangka, sebaliknya ia dinamakan G580 dengan EQ Technology. Ini menandakan hala tuju baharu penamaan model EV jenama itu.

“EQ ialah permulaan teknikal, Mercedes-Benz akan datang tidak akan menjadi EQ,” kata pengurus produk Mercedes, Tobi Mantele.

“EQ ialah pelantar teknikal untuk kami. Sebaik sahaja anda pergi ke arah elektrifikasi sepenuhnya, anda tidak mahu menggugurkan suatu jenama seperti S-Class contohnya,” tambah seorang lagi jurucakap Mercedes.

Hala tuju ini juga menunjukkan Mercedes mahu menormalisasikan EV sebagai barisan model biasa dan akan menggunakan penamaan seperti model petrol dan diesel.

Dalam pada masa yang sama, Mercedes tidak akan menawarkan EV semata-mata, tetapi elektrifikasi mereka juga akan merangkumi model plug-in hybrid (PHEV).

“Kami tidak mahu menyingkirkan sepenuhnya peluang dengan platform-platform ICE kami sedia ada. Kami mempunyai PHEV dengan prestasi terbaik dalam rangkaian, dan kami akan mengemaskininya,” kata jurucakap itu.

Lihatkan Ulasan (5)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved