fbpx

McLaren Artura Spider adalah supercar convertible dengan 700 PS

McLaren P16S – CroatiaRef: McLaren_P16S-007.JPG

TIGA tahun yang lalu, McLaren memperkenalkan Artura sebagai supercar hibrid prestasi tinggi produksi pertamanya. Kini, barisan model itu diperluaskan dengan kehadiran versi convertible iaitu Artura Spider.

Model baharu ini tampil dengan peningkatan melibatkan aspek trenkuasa, casis dan aerodinamik, yang akan turut diberikan kepada versi coupe untuk model tahun 2025.

Pertama sekali, McLaren telah menala semula enjin hibrid 3.0-liter V6 bagi meningkatkan kuasa dari 680 PS sebelum ini kepada 700 PS. Tork kekal pada 720 Nm namun dengan ubahsuai pemetaan elektronik, ia disalurkan ke roda dengan lebih baik.

Enjin berkenaan digandingkan dengan motor elektrik yang diletakkan di dalam kotak gear. Motor itu menjana 95 PS dan 225 Nm, dan digandingkan dengan bateri berkapasiti 7.4 kWh yang memberikan jarak gerak elektrik sejauh 33 km.

Dengan transmisi lapan kelajuan yang telah dikalibrasi semula, Artura Spider boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.0 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 8.4 saat. Walaupun berbumbung convertible, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

Tambah McLaren, kereta ini juga mendapat cagak enjin baharu yang lebih tegar bagi mengawal pergerakan trenkuasa. Ini akan meningkatkan kestabilan, respon stereng dan ketangkasan kenderaan ketika beraksi.

Artura Spider menggunakan bumbung jenis hardtop yang boleh dibuka dan ditutup dalam 11 saat dengan bantuan lapan motor elektrik. Biarpun begitu, ia mempunyai berat 1,560 kg, hanya 62 kg lebih berbanding Artura Coupe.

Untuk memastikan pemandu dapat menikmati sepenuhnya bunyi enjin ketika bumbung diturunkan, McLaren turut menyertakan sistem ekzos baharu dengan resonator ditala semula dan muncung berbentuk kon.

Jika ini tidak cukup kuat, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem ekzos sport yang menawarkan nada yang lebih jelas dengan menyalurkan gelombang bunyi dari ekzos ke dalam kabin.

Ride and handling pula diperbaiki dengan meningkatkan kadar tindak balas sistem Proactive Damping Control sebanyak 90%, menjadikan ia lebih responsif terhadap input pemandu dan permukaan jalan.

Untuk brek, Artura Spider mempunyai cakera karbon seramik berukuran 390 mm di hadapan, 380 mm di belakang, masing-masing digandingkan dengan angkup monobloc aluminium enam dan empat piston.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved