fbpx

Kereta sports NISMO hibrid bakal muncul? Tetapi bukan pengganti Nissan GT-R R35

nissan gt-r50 italdesign 01

REKABENTUK Nissan GT-R generasi terkini boleh dikatakan sudah berusia 21 tahun jika mengambil kira bahawa konsepnya mula dipertontonkan pada Tokyo Motor Show 2001. Model produksi pula menyusul di acara sama enam tahun kemudian, jadi R35 memang sebuah model yang sudah berusia.

Mujurlah, bahagian prestasi dan sukan permotoran Nissan, NISMO menjanjikan produk menarik yang akan muncul nanti. CEO, Takao Katagiri mengesahkan “sebuah model sangat mengujakan” dengan lencana NISMO sedang dirancang.

Dalam satu temu bual dengan Autocar, beliau berkata kereta itu akan dijual di Jepun dan juga Eropah, Amerika Syarikat, dan UK. Majalah British juga menegaskan bahawa model itu bukanlah pengganti terus kepada GT-R.

Awal tahun ini, “Godzilla” telah dihentikan pengeluarannya di Eropah disebabkan piawaian pelepasan yang semakin ketat yang juga menyebabkan pengeluar itu tidak dapat menjual Z baharu di sana.

Jentera NISMO nanti dikatakan bakal mendapat janaan kuasa hibrid, dan bukanlah EV sepenuhnya. Syarikat itu berkata jentera EV prestasi tinggi akan memerlukan bateri solid state, dan ia belum sedia dihasilkan dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun, pesaing Nissan, Toyota telah menjanjikan untuk melancarkan kenderaan produksi hibrid dengan bateri solid state menjelang 2025.

Katagiri berkata kepada Autocar: “Terdapat visi yang sangat penting untuk Nissan di Eropah. Ianya dibawa bersama dengan kereta baharu ini.

“Rantau ini (Eropah) sangat penting buat kami, terutamanya untuk kereta prestasi. Jadi, satu perkara yang saya boleh katakan ialah sila tunggu.

“Kami akan memperkenalkan model yang sangat mengujakan untuk pasaran UK di bawah jenama NISMO,” tambahnya.

Dalam pada itu, ura-ura berkata Nissan dan NISMO sedang bekerjasama untuk satu versi terakhir GT-R R35 sebagai selamat jalan kepada legenda itu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved