fbpx

Rolls-Royce Spectre jalani fasa ujian kedua di Riviera Perancis

Rolls-Royce Spectre ujian 02

JIKA anda ingat balik, pada September tahun lalu, Rolls-Royce mengumumkan bahawa mereka telah memulakan pengujian untuk kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu Spectre.

Dalam perkembangan terbaru, model itu disahkan telah memasuki fasa ujian kedua yang bertempat di wilayah Riviera Perancis di bahagian selatan Perancis. EV mewah itu dijangka menempuh perjalanan sejauh 625,000 km sebagai sebahagian daripada program ujian globalnya yang melibatkan jarak keseluruhan sejauh 2.5 juta km.

Menurut Rolls-Royce, ujian fasa kedua dibahagikan kepada dua bahagian, bermula di Autodrome de Miramas yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk tujuan pengujian dan pembangunan. Ini termasuk laluan tertutup sepanjang 60 km, selekoh-selekoh tajam serta litar mencondong sepanjang 4.98 km yang membolehkan Spectre dipandu pada kelajuan tinggi.

Untuk bahagian kedua pula, Spectre akan dibawa ke kawasan luar bandar Provenal di sekitar Autodrome de Miramas untuk menjalani ujian di jalan raya yang sebenar. Di sini, Rolls-Royce akan menguji penstabil olengan elektronik (electronic roll stabilisation) yang menggunakan data keadaan permukaan jalan dari sistem Flagbearer dan navigasi satelit untuk mempersiap sistem suspensi untuk menyerap hentakan.

Bukan itu sahaja, sistem itu juga boleh memisahkan anti-roll bar pada laluan lurus dan menyambungnya semula apabila sistem navigasi mengesan terdapat selekoh di hadapan. Ini memberikan Spectre prestasi pengendalian yang digelar sebagai ‘magic carpet ride’.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Spectre dibina menggunakan platform Architecture of Luxury yang turut digunakan oleh Ghost dan Phantom. Ia dikatakan 30% lebih tegar kerana baterinya diintegrasikan ke dalam struktur, secara tidak langsung menjadikan Spectre model paling tegar Rolls-Royce setakat ini.

Bukan itu sahaja, Rolls-Royce juga berjaya menjadikan Spectre modelnya yang paling aerodinamik dengan kadar pekali seretan hanya 0.25. Angka ini 0.01 lebih rendah berbanding jangkaan awal syarikat itu.

Maklumat mengenai trenkuasa bagaimanapun masih belum didedahkan. Apa yang diberitahu, selepas ini Spectre akan diuji sejauh 1 juta km lagi sebelum pengujiannya dikira lengkap. Penyerahan pertama pula dijangka berlaku pada suku keempat tahun 2023.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved