Imej Porsche 911 GT3 RS RS 2023 didedah, pelancaran rasmi 17 Ogos

TIDAK mudah untuk menjangkakan yang ini, selepas 911 GT3 dilancarkan, kini versi yang lebih hardcore pula menyusul, iaitu 911 GT3 RS.

Jentera dengan elemen perlumbaan ini telah diintip beberapa kali melakukan ujian di litar Nurburgring dan kini gambar-gambar rasminya didedahkan. Hanya beberapa gambar luaran kerana pelancaran sebenar akan berlangsung pada 17 Ogos depan.

Tidak banyak maklumat yang didedahkan oleh Porsche bersama gambar-gambar ini, tetapi sekurang-kurangnya GT3 RS sah akan dikuasakan oleh enjin 4.0-liter flat-six naturally-aspirated.

Enjin ini dijangka menjana sekitar 520hp dengan kemampuan rev sehingga 9,500rpm.

“911 GT3 RS baharu ini lebih dioptimakan untuk kegunaan litar berbanding model sebelumnya,” kata Andreas Preuninger, Director GT Model Line di Porsche.

“Enjin yang high-revving yang responsif dengan anggaran 500hp ini telah terbukti ideal untuk kegunaan track day dan acara-acara kelab.”

“Kerana itulah kami fokus lebih kepada aerodinamik dan casis dalam pembangunan 911 GT3 RS ini,” tambah Preuninger.

Perincian yang dapat dilihat pada gambar ini termasuklah fin menegak di kedua-dua sisi bampar untuk lebih aerodinamik.

Terdapat juga rongga udara lebih besar di atas hud, sirip di fender depan, aero tambahan di roda depan, dan ruang kemasukan udara di fender belakang.

Porsche 911 GT3 semasa dilancarkan di Malaysia pada November 2021 dijual pada harga bermula RM1.76 juta dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik PDK 7-kelajuan.

Jangkakan 911 GT3 RS yang lebih hardcore dan padu ini untuk menghampiri harga permulaan RM2 juta.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *