fbpx

Honda CR-V 2022 generasi ke-6 dilancar di AS, kabin macam Civic!

honda cr-v 2022 global 05

HONDA CR-V 2022 serba baharu telah diperkenalkan di peringkat global. Dengan identifikasi tahun model 2023, SUV generasi ke-6 ini merupakan antara paling popular di Amerika Utara dan kini diperbaharui luar dan dalam, serta mendapat pilihan janaan kuasa hibrid.

Rupa luaran Honda CR-V 2022 menampilkan gril depan lebih besar dan lampu LED nipis. Untuk varian Sport dan Sport Touring di AS, ia mendapat gaya depan dan belakang lebih agresif.

Dari segi dimensi, CR-V 2022 ini 6.9cm lebih panjang, dan kira-kira 1.2cm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Jarak roda juga kira-kira 4cm lebih panjang, menjadikan CR-V generasi ke-6 ini model paling besar pernah dihasilkan.

Bahagian dalam Honda CR-V 2022 – seperti dijangka – menggunakan senibina yang serupa dengan Civic FE.

Dapat dilihat di sini skrin sesentuh bersaiz 7-inci di tengah, paparan instrumen digital 7-inci, serta beberapa pilihan warna kulit mengikut trim dan varian. Paling ketara adalah corong pendingin hawa mendatar yang ‘ditarik’ hampir sama lebar dengan papan pemuka.

Apple CarPlay dan Android Auto didatangkan secara standard, selain pakej keselamatan termaju Honda Sensing. Untuk generasi terkini, ia menampilkan kamera bersudut-lebat dengan sudut pandangan 90-darjah serta radar dengan sudut pengesanan 120-darjah. Untuk pertama kali juga, Hill Descent Control didatangkan secara standard untuk CR-V.

Bergantung kepada varian, Honda CR-V dikuasakan oleh pilihan enjin petrol dan hibrid. Unit petrol adalah 1.5-liter turbo 4-silinder seperti sebelum ini, dengan output 190hp.

Unit hibrid pula merangkumi enjin 2.0-liter 4-silinder dengan 204hp dan 334Nm tork. Transmisi adalah serupa untuk kedua-dua jenis enjin, iaitu CVT.

Harga Honda CR-V 2022 belum diumumkan, tetapi ia dijangka mula dijual pada musim panas ini. Varian Sport dan Sport Touring pula menyusul menjelang hujung tahun.

Kami jangkakan ia tiba di Malaysia suku pertama tahun depan. Apa pendapat anda mengenai Honda CR-V serba baharu setakat ini?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved