PM jemput Tesla labur dan buka kilang di Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka, iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan kereta elektrik.

“Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menemui Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) di sebuah hotel di Washington DC kelmarin.

Perdana Menteri sedang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Ismail Sabri berkata, beliau telah meminta AS-ABC untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke ASEAN, terutamanya Malaysia.

“Mereka menganggap Malaysia sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat yang penting,” katanya mengenai reaksi AS-ABC.

Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC

Tesla pada Disember 2021 lepas menyatakan hasrat untuk melabur di Indonesia bagi menjadikan negara itu hab bateri Li-ion terbesar di dunia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum itu berkata kepada Reuters, “Ianya penting kerana kami merancang menjadikan Indonesia pengeluar terbesar bateri lithium dan kami mempunyai simpanan nikel terbesar.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *