Volkswagen fokus menawarkan perkhidmatan serta kualiti terbaik untuk pelanggannya. - Foto ihsan Malay Mail

Sasar untung lebih, Volkswagen tumpu pengeluaran model premium sahaja

JENAMA Volkswagen bukan suatu yang asing dalam industri automotif sama ada peringkat global mahupun di Malaysia.

Mempunyai pelbagai model dan segmen kenderaan, Volkswagen sememangnya menjadi ‘kegilaan’ bagi kebanyakan ‘kaki kereta’.

Bagaimanapun, baru-baru ini kumpulan Volkswagen mengumumkan satu keputusan mengejutkan ramai apabila enggan lagi menjadi pengeluar automotif terbesar dunia.

Memetik laporan Automotive News, keputusan itu dibuat memandangkan Volkswagen hanya ingin menumpukan kepada pengeluaran kenderaan lebih premium.

Arteon R-Line 2022 antara model premium dihasilkan Volkswagen. – Foto ihsan VW

Selain itu, syarikat terbabit juga bercadang untuk mengurangkan lebih 60 peratus pengeluaran kenderaan enjin pembakaran menjelang akhir dekad ini!

Ketua Unit Kewangan Volkswagen Arno Antlitz berkata, pihaknya akan lebih mementingkan kualiti serta margin yang lebih tinggi.

“Kami (Volkswagen) kini hanya menyasar kepada kualiti serta margin keuntungan dan tidak lagi memberi fokus kepada pertumbuhan syarikat.

“Bilangan angka jualan dan pegangan saham bukan lagi perkara utama yang perlu diberi perhatian menyeluruh pihak syarikat,” katanya.

Model Taigo tidak dinafikan memilki rekaan yang sangat menarik. – Foto ihsan VW

Dalam perkembangan sama, Volkswagen dijangka menamatkan pengeluaran lebih 100 jenis model kenderaan enjin pembakaran di Eropah dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

Pemerhati percaya, ini merupakan strategi baharu Volkswagen sekaligus ‘lari’ daripada kebiasaan syarikat itu yang hanya menumpukan kepada bilangan jualan kenderaan.

Tahun lalu, Volkswagen berjaya memasarkan lebih 9,305,000 unit kenderaan di seluruh dunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *