Touch 'n Go turut menjadi mangsa scam daripada pihak tidak bertanggungjawab. - Foto ihsan Touch 'n Go

Polis: Elak terpedaya dengan sindiket tambah nilai Touch ‘n Go palsu

POLIS menggesa orang ramai tidak terpedaya serta terlibat dengan aktiviti tambah nilai tidak sah ke atas kad Touch ‘n Go atau sebarang kad mata ganjaran.

Individu mempunyai sebarang maklumat seperti kegiatan itu juga diminta segera melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur berkata, aduan boleh dibuat menerusi panggilan telefon atau terus ke balai polis berdekatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan seperti ini hendaklah melaporkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur,” kata ACP Mohd Mahidisham Ishak.

Aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2146 0584/0585 atau CID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599.

Pengadu juga boleh menghantar aduan menerusi Whatsapp CID Infoline di talian 013-2111 222.

Semalam, lima individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket tambah nilai kad Touch ‘n Go dan kad mata ganjaran tidak sah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing ditahan di sebuah kondominium kira-kira jam 4 petang.

Antara barangan dirampas termasuk lapan unit telefon bimbit serta lebih 1,400 keping kad Touch ‘n Go.

Selain itu, polis turut merampas 5,200 kad mata ganjaran pelbagai nombor siri berserta 35 ikatan resit kad ganjaran pelbagai nombor siri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *