fbpx

Volkswagen ID. Buzz iterasi moden Samba Van dengan janaan elektrik

volkswagen id buzz 03

MENGGABUNGKAN rekaan retro dengan teknologi canggih terkini bukanlah satu amalan baharu dalam industri automotif. Volkswagen, misalnya, akan melancarkan jelmaan semula T1 Microbus dengan ‘nadi’ elektrik iaitu ID. Buzz pada 9 Mac depan.

Namun sebelum model itu diperkenalkan sepenuhnya kepada dunia, Volkswagen terlebih dahulu telah mendedahkan gambar rasmi serta beberapa perincian teknikalnya.

Pertama sekali, ia akan ditawarkan dalam dua versi iaitu ID. Buzz yang didatangkan dengan lima tempat duduk, serta ID. Buzz Cargo yang dibangunkan untuk pembeli komersial. Versi ini mempunyai tiga tempat duduk hadapan, serta dinding sekat (partition) bagi mengasingkan kabin dengan ruang kargo.

ID. Buzz dibangunkan menggunakan platform Modular Electric Drive Kit (MEB) yang turut digunakan oleh model-model Volkswagen ID yang lain. Oleh itu, tidak hairanlah rekaan bahagian hadapannya saling tidak tumpah seperti ID.4 dan ID.5.

Walaupun begitu, ia masih mengekalkan elemen-elemen asal T1 seperti yang dipertontonkan menerusi model konsep pada 2017. Antara elemen yang dimaksudkan adalah overhang yang amat pendek dan motif ‘V’ pada bahagian hadapan. Seperti T1, ia juga mempunyai pacuan roda belakang.

Roda tersebut digerakkan oleh sebuah motor elektrik yang dikatakan menjana kuasa mencecah 150kW (204PS) dan 310Nm. Motor elektrik ini mendapat bekalan kuasanya daripada pek bateri berkapasiti 82kWj yang berkemungkinan besar diletakkan pada bahagian tengah casis.

Setakat ini, angka-angka penting seperti jarak pemanduan dan prestasi pecutan 0-100km/j masih dirahsiakan namun menurut Volkswagen, ID. Buzz mampu mencapai kelajuan maksimum 145km/j.

Dari segi teknologi, model ini didatangkan dengan pengecasan bidirectional, yang bermakna baterinya boleh digunakan untuk menyimpan tenaga daripada panel solar kediaman dan menyalurkan semula tenaga tersebut untuk digunakan pada waktu malam.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pelbagai jenis sistem bantuan pemandu. Antaranya adalah sistem parkir automatik yang dinamakan sebagai Trained Parking. Turut disertakan adalah Car2X yang bertindak mengeluarkan mengenai bahaya di kawasan sekitar, serta Travel Assist yang data daripada pihak ketiga untuk pemanduan separa automatik pada semua tahap kelajuan.

Seperti model-model EV lain, kemaskini perisian akan dilakukan secara atas udara atau Over The Air (OTA).

Produksi ID. Buzz akan bermula pada separuh pertama tahun ini, diikuti dengan pelancarannya di pasaran Eropah pada September. Ia juga akan memasuki pasaran Amerika Syarikat, di mana ia akan ditawarkan dalam versi tapak roda panjang (long-wheelbase).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved