Alpha Motors Saga sebuah EV dengan rekaan retro moden, jarak pemanduan 480km

Sebelum anda teruskan membaca, jangan tersilap sangka kerana ini bukanlah Proton Saga versi elektrik yang dinanti-nantikan. Sebaliknya, ia merupakan EV terbaharu keluaran Alpha Motors yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengan kereta nasional pertama Malaysia itu.

Syarikat kenderaan elektrik yang berpengkalan di Irvine, California itu dilihat mula aktif sejak akhir tahun lalu. Dalam jangka masa yang pendek, ia berjaya melancarkan beberapa buah EV pelbagai segmen, bermula dengan model coupe Ace pada Disember 2020, diikuti dengan trak pikap Wolf dan Superwolf pada Mac dan Ogos tahun ini.

Kini, Alpha Motors memperkenalkan satu lagi EV dengan rekaan retro moden yang dikenali sebagai Saga iaitu singkatan untuk Sleek and Adaptive Geometric Architecture.

Bentuknya tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ace, cuma ia lebih panjang dan mempunyai empat pintu. Model ini mempunyai ukuran 185 inci panjang, 75 inci lebar dan 57 inci tinggi.

Alpha Motors berkata Saga akan ditawarkan dalam dua versi iaitu motor elektrik tunggal (RWD) dan berkembar (AWD). Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan tidak didedahkan namun menurut syarikat itu, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam 6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200km/j.

Jarak pemanduan yang diperoleh daripada pek bateri berkapasiti 85kWh adalah sekitar 480 km. Ia menyokong sistem pengecasan DC yang mampu mengisi kuasa bateri dari 0 hingga 80 peratus dalam masa sejam.

Bahagian hadapannya menampilkan lampu bulat berkembar, sekaligus memberikannya ‘wajah’ seperti Dodge Challenger, manakala di sisi pula terdapat gerbang roda yang lebar dan rim aloi lima jejari yang boleh didapati dalam saiz 16- hingga 18-inci. Bahagian belakang pula kelihatan cukup agresif dengan kehadiran spoiler dan diffuser.

Sementara itu, ruang dalaman pula mengetengahkan konsep minimalis seperti kereta-kereta muscle old school.

Disertakan adalah stereng tiga jejari, tolok meter digital dengan rekaan analog, tempat duduk ergonomik serta kawalan haptik untuk sistem pendingin hawa dan audio. Terletak di atas papan pemuka adalah skrin sentuh dengan sokongan Bluetooth.

Untuk ruang kargo pula, bonet dan but Saga dikatakan menawarkan ruang penyimpan keseluruhan sebesar kira-kira 566 liter.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *