fbpx

Saloon Mecha Dragon sebuah EV dengan inspirasi Mega Man 2

saloon mecha dragon 06

DALAM sedar tak sedar, China telah muncul sebagai kuasa terbesar dalam industri kenderaan elektrik (EV), mengalahkan Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

Manakan tidaknya, saban tahun, ada sahaja jenama EV baharu dari negara itu yang dilancarkan. Terbaru, Great Wall Motors telah mengumumkan kemasukannya ke segmen EV dengan jenamanya yang tersendiri iaitu Saloon.

Produk pertamanya adalah sebuah coupe empat pintu yang dikenali sebagai Mecha Dragon. Ia diperkenalkan di Guangzhou Auto Show 2021 baru-baru ini.

Peminat permainan video mungkin pernah mendengar nama ini kerana ia sebenarnya ‘dipinjam’ daripada bos peringkat akhir dalam permainan Mega Man 2.

Sepadan dengan namanya itu, Mecha Dragon tampil dengan reka bentuk badan unik yang didominasi oleh garisan-garisan tajam dan bersegi. Saloon mendakwa bahagian luaran model ini direka sedemikian bagi menyerupai ‘perisai mekanikal’.

Walaupun ia sebuah EV, anda akan menemui beberapa elemen yang tidak sepatutnya dimiliki oleh sebuah kenderaan yang tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman seperti skup bonet dan muncung ekzos.

Bagaimanapun, untuk ruang kabin, Saloon seolah-olah mengambil pendekatan yang berbeza kerana rekaannya tidaklah berserabut dan kucar-kacir seperti bahagian luarannya.

Malah, ia kelihatan moden dengan adanya kluster instrumen digital, skrin sistem infotainmen yang lebar dan konsol tengah yang kemas.

Berdasarkan gambar-gambar ini, Mecha Dragon mampu memuatkan sehingga lima orang penumpang namun tempat duduk tengah di belakang kelihatan lebih sesuai untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Terdapat dua pilihan upholsteri yang ditawarkan iaitu suede dan kulit dua tona.

Menurut laporan, Mecha Dragon dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 543hp (405kW) dan 750Nm, sekaligus membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.7 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Dengan pek bateri berkapasiti 115kWh, trenkuasa elektrik ini dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 802km berdasarkan kitaran ujian kenderaan tugas ringan China (CLTC).

Apa yang lebih mengagumkan adalah sistem pengecasan pantas 480kW yang boleh menambah jarak pemanduan sebanyak 401km dengan pengecasan selama hanya 10 minit.

Teknologi lain yang terdapat pada Mecha Dragon adalah empat modul LIDAR serta beberapa kamera dan sensor yang merupakan sebahagian daripada sistem pemanduan autonominya.

Tidak diketahui bilakah model ini akan memasuki pasaran namun apa yang pasti, pengeluarannya akan dihadkan kepada 101 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga kira-kira $80,000 (RM338,280).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved