fbpx

Kia Sportage 2023 tampil lebih dinamik, tawar ruang lebih luas

kia sportage 2023 09

SELEPAS diperkenalkan di Korea Selatan pada Julai dan di Eropah pada September lalu, Kia Sportage kini tiba di Amerika Syarikat, di mana ia boleh didapati dalam beberapa varian termasuk dua varian lasak yang dikenali sebagai X-Line dan X-Pro.

Dijangka memasuki pasaran negara itu pada suku pertama tahun hadapan, model generasi kelima ini akan ditawarkan dengan enjin petrol 4-silinder terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan versi hibrid.

Dibina di atas platform N3 yang turut digunakan oleh Sorento, Sportage baharu tampil dengan rekaan lebih segar bertemakan ‘Opposites United’ yang menggabungkan permukaan-permukaan yang licin dengan elemen rugged.

Gril hidung harimau yang merupakan trademark Kia kini lebih teknikal dengan rekaan terapung, manakala lampu hadapan yang diposisikan hampir dengan dapra ditemani oleh sepasang DRL berbentuk boomerang.

Lampu belakang yang tajam pula disambungkan oleh jalur hitam yang merentangi sepanjang bahagian pintu but.

Ruang dalaman turut diberikan nafas baharu yang menjadikan suasana lebih premium. Bergantung kepada varian, SUV ini dilengkapi dengan paparan panoramik melengkung yang merangkumi kluster instrumen digital dan skrin infotainmen, masing-masing berukuran 12.3-inci.

Android Auto dan Apple CarPlay disertakan secara standard pada semua varian, manakala Surround View Monitor, sistem audio Harman Kardon, pengecas tanpa-wayar, Kia Connect adalah antara beberapa ciri yang ditawarkan sebagai opsyen.

Di bawah skrin infotainmen terdapat touchpad baharu dengan kawalan untuk sistem pendingin hawa dan audio. Apa yang menarik, fungsi tombol tersebut boleh diubah untuk mengawal suhu atau tahap audio.

Jika dibandingkan dengan model terdahulu, panjang keseluruhan dan tapak roda Sportage kini bertambah sebanyak 7.1- dan 3.4-inci, manakala ukuran tinggi dan lebar turut meningkat sebanyak setengah inci.

Ini secara tidak langsung menghasilkan ruang lega kaki sepanjang 41.3-inci dan 1,121 liter kapasiti keseluruhan ruang but.

Tersembunyi di bawah hud adalah enjin petrol 2.5-liter 4-silinder yang menghasilkan 187hp. Ia digandingkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dengan pilihan pacuan roda-depan atau pacuan semua-roda (AWD).

Untuk lebih kelainan, pelanggan boleh memilih varian X-Line atau X-Pro yang mana kedua-duanya didatangkan standard dengan AWD dan upholsteri kulit sintetik Syntex yang mudah dibersihkan.

Varian X-Line dilihat lebih tertumpu kepada penambahan kosmetik. Ia merangkumi kemasan krom satin pada bampar hadapan dan belakang, kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, rak bumbung dan bingkai tingkap, rak bumbung yang lebih tinggi serta rim berukuran 19-inci.

X-Pro didatangkan dengan lebih banyak kelengkapan seperti tayar all-terrain BF Goodrich, rim off-road 17-inci dalam warna hitam matte, lampu kabus LED, lampu LED projektor, fungsi pemanas pada cermin hadapan, fungsi ventilasi pada tempat duduk hadapan dan pelarasan kuasa lapan hala untuk tempat duduk penumpang hadapan.

Turut disertakan adalah mod pemanduan Normal, Sport, Smart dan Snow.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved