fbpx

CUPRA Born hatchback elektrik yang hampir sama laju dengan Golf GTi

cupra born 03

ZAMAN kini, boleh dikatakan semua pemain automotif ingin mempunyai kenderaan elektrik (EV) dalam barisan produk masing-masing, termasuk pengeluar-pengeluar yang ‘berjiwa’ sporty seperti CUPRA.

Apa yang anda lihat ini adalah hatchback elektrik CUPRA Born yang merupakan EV pertama bagi jenama yang bernaung di bawah SEAT itu.

Menurut CUPRA, Born dibangunkan di Barcelona berdasarkan platform MEB Volkswagen Group yang turut digunakan oleh Volkswagen ID.3. Ini bermakna ia menawarkan pilihan pek bateri dan motor elektrik yang sama dengan model tersebut.

Barisan Born bermula dengan varian entry-level yang mempunyai bateri 45kWh dan motor elektrik 110kW (150PS) yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 8.9 saat, dengan jarak pemanduan sejauh 340km (kitaran WLTP).

Diposisikan di atasnya adalah varian bateri 58kWh yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 150kW (204PS). Gabungan ini lebih pantas, membolehkan hatchback tersebut melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan dipandu sejauh 420km dengan satu cas penuh.

Selain itu, CUPRA turut menawarkan varian 58kWh dengan penambahan pakej e-Boost yang menyaksikan kuasanya melonjak kepada 170kW (231PS). Kuasa yang lebih tinggi ini mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.6 saat, namun jarak pemanduannya kekal sama.

Varian tertinggi pula mempunyai pek bateri 77kW yang memberikannya jarak pemanduan yang paling jauh di antara varian Born iaitu 540km.

Namun begitu, walaupun mempunyai kuasa dan pakej e-Boost yang sama dengan varian ketiga, penggunaan bateri yang lebih besar menyebabkan masa pecutan 100km/j meningkat kepada 7.0 saat.

Tidak kira pek bateri mana yang dipilih, Born mempunyai tork sebanyak 310Nm dan transmisi kelajuan tunggal yang menggerakkan roda belakang. Varian pacuan semua roda (AWD) dijangka akan ditawarkan pada masa depan.

Dari segi pengecasan, Born dilengkapi dengan sistem pengecasan pantas DC berkapasiti 125kW yang mampu menambah jarak pemanduan sebanyak 100km dalam hanya tujuh minit atau mengecas dari lima hingga 85 peratus dalam masa 35 minit. Ia juga boleh dicas menerusi sistem pengecas AC.

Sesuai dengan jenama Cupra yang memfokuskan prestasi, Born direka untuk memberikan pengendalian yang mantap dan menyeronokkan.

Bagi tujuan ini, baterinya diletakkan di tengah-tengah casis pada kedudukan yang rendah untuk mendapatkan pengagihan berat 50:50 dan pusat graviti yang rendah.

Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang. Ia boleh digandingkan dengan sistem peredam adaptif Dynamic Chassis Control (DCC) yang mempunyai empat tetapan iaitu Range, Comfort, Individual dan CUPRA. Turut disertakan adalah stereng progresif dan ESC Sport.

Secara keseluruhan, rekaan Born tidak jauh berbeza dengan model konsep SEAT el-Born yang diperkenalkan di Geneva Motor Show dua tahun lalu. Lampu LED didatangkan standard, manakala rim pula boleh didapati dalam saiz 18- hingga 20-inci, dengan enam pilihan rekaan.

Dengan ukuran panjang 4,322mm dan tinggi 1,537mm, ia lebih panjang dan rendah berbanding ID.3. Bagaimanpun, ukuran lebar kedua-dua model ini adalah sama iaitu 1,809 mm. Kapasiti ruang but adalah 385 liter.

Ruang dalaman pula menampilkan kemasan tembaga, serta upholsteri yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan mikro-fiber mesra alam. Sistem infotainmen menampilkan skrin sentuh berukuran 12-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved