Kawasaki Z900RS SE 2022 facelift dengan warna baharu, suspensi Ohlins

DIPERKENALKAN buat kali pertama pada 2017, Kawasaki Z900RS SE telah dikemas kini bagi model tahun 2022 yang menyaksikan ia mendapat warna baharu dan yang lebih penting, penambahbaikan dalam aspek mekanikal.

Sudah tentu, perkara pertama yang akan mencuri perhatian anda adalah penampilannya. Sesuai dengan rekaan retro modennya, Z900RS SE kini didatangkan dalam skema warna dua tona ‘Yellow Ball’ yang diinspirasikan oleh warna ‘Fireball’ pada model Z1 keluaran tahun 1972.

Melengkapkan lagi imej baharunya adalah logo ‘RS’ berwarna merah pada panel sisi yang terletak di bawah pelana, kemasan hitam pada komponen enjin dan pelindung radiator, serta rim berwarna emas. Warna yang sama turut digunakan untuk menghiasi fork dan komponen suspensi belakang.

Bercakap tentang suspensi, Z900RS SE mendapat penyerap hentak belakang Ohlins S46 yang mempunyai ciri pelaras pramuat (preload adjuster), serta kebuk gas dan udara berasingan yang dikatakan mampu memperbaiki cengkaman dan pengendalian.

Pada bahagian hadapan pula, fork berukuran 41 mm kini bukan sahaja kelihatan lebih cantik dengan kemasan emas pada tiub luarannya, malah ia dikatakan mempunyai prestasi yang lebih stabil berbanding sebelum ini.

Selain itu, Kawasaki turut menaik taraf sistem brek dengan menggunakan pakej Brembo pada bahagian hadapan. Ia merangkumi cakera berkembar berukuran 300 mm dan angkup monobloc M4.32 yang dipadankan dengan radial-pump master cylinder Nissin dan kabel stainless steel.

Seperti sebelum ini, kuasa untuk Z900 RS dibekalkan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 983cc yang menghasilkan 111PS pada 8,500 rpm dan 98.5Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan.

Klac jenis Assist & Slipper yang digunakan bukan sahaja menjadikan tuil lebih ringan, malah menghalang roda belakang daripada terangkat apabila gear diturunkan dengan agresif.

Di samping ABS, model ini turut mempunyai ciri kawalan cengkaman (digelar Kawasaki TRaction Control atau KTRC) dengan dua mod berbeza yang menawarkan tahap cengkaman yang lebih sporti atau lebih selamat. Bagaimanapun, penunggang juga boleh mematikan sistem ini jika mereka mahu.

Setakat ini, Z900 RS SE diumumkan untuk pasaran Eropah sahaja dengan harga bermula dari £12,499 (kira-kira RM72,825) di United Kingdom.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *