Yamaha YZF-R9 2027 rasmi di Malaysia, harga dari RM68,000
Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd secara rasmi melancarkan jentera supersport Yamaha YZF-R9 2027 untuk pasaran Malaysia.
Ditawarkan bermula Januari 2027, YZF-R9 dijual pada harga bermula dari RM68,000 (atas jalan tidak termasuk insurans dan pendaftaran).
Hanya ada satu sahaja pilihan warna yang tersedia, iaitu Icon Blue.
Spesifikasi
Jentera ini dipacu enjin tiga silinder sebaris 890 cc DOHC sejukan cecair menghasilkan kuasa 117 hp @ 10,000 rpm dan 93 Nm @ 7,000 rpm.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork KYB jenis terbalik 43 mm larasan penuh, diikuti penyerap hentak belakang yang turut boleh dilaraskan sepenuhnya.
R9 turut menggunakan rangka aluminium seberat 9.7 kg, rangka paling ringan pernah digunakan pada model supersport Yamaha.
Ia turut hadir dengan sistem brek hadapan Brembo Stylema, dibantu dengan sistem pengukuran inersia (IMU) enam paksi yang mengawal fungsi seperti:
- kawalan cengkaman
- Slide Control
- Lift Control
- Brake Control
Sistem Yamaha Ride Control menawarkan tetapan yang boleh disesuaikan mengikut keadaan tunggangan.
Tidak ketinggalan, sistem Launch Control membolehkan pecutan dari keadaan pegun yang lebih pantas dan cekap, sesuai untuk kegunaan dalam litar.
Skrin paparan TFT sebesar 5-inci menawarkan empat tema paparan serta mod ‘Track’ khusus.
Akhir sekali, YZF-R9 turut menyokong aplikasi Y-TRAC Rev yang menawarkan ciri pengukuran masa pusingan, analisis data tunggangan dan papan pit maya.
Ia hadir dengan pilihan pelan percuma serta pelan berbayar untuk penyimpanan data tunggangan tanpa had.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.












