Isuzu D-Max 2.2L rentas Malaysia Timur dengan satu tangki diesel penuh
Isuzu D-MAX 2.2L TD sekali lagi membuktikan kecekapan penggunaan dieselnya menerusi perjalanan dari Sandakan, Sabah ke Kuching, Sarawak.
Ini adalah susulan kepada kejayaan berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya satu tangki bahan api yang dibuat tempoh hari.
Perjalanan sejauh 1,605 km
Menerusi cabaran “D-MAX One Tank. One Nation”, Isuzu Malaysia menggunakan dua unit D-MAX 2.2L turbo diesel, masing-masing varian 4×2 Auto Plus dan 4×4 Automatic Premium.
Kedua-dua varian berjaya menamatkan perjalanan sejauh 1,605 km tanpa mengisi semula bahan api, malah masih mempunyai baki diesel yang banyak.
Lebih menarik, varian 4×2 Auto Plus berjaya melengkapkan keseluruhan perjalanan tanpa lampu amaran paras bahan api rendah menyala.
Tempuh pelbagai cabaran
Cabaran di Malaysia Timur ini melibatkan pelbagai keadaan jalan, termasuk laluan berbukit, kawasan pembinaan serta pendakian mencabar merentasi Banjaran Crocker.
Kejayaan tersebut turut membuktikan kemampuan enjin 2.2L turbo diesel baharu yang menawarkan peningkatan kuasa, tork, kelancaran serta kecekapan bahan api.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, cabaran ini bertujuan membuktikan keupayaan sebenar D-MAX dalam keadaan pemanduan harian, bukan sekadar di lebuh raya yang rata.
Perjalanan bermula dari bilik pameran Universal Motor Isuzu di Sandakan sebelum melalui Telupid, Kundasang dan Kota Kinabalu.
Konvoi kemudian memasuki Sarawak melalui Brunei, dengan persinggahan di Miri, Bintulu, Sarikei dan Sibu sebelum menamatkan perjalanan di Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu, Kuching.
Sepanjang cabaran berlangsung, duta jenama Isuzu D-MAX, Baki Zainal turut mengadakan sesi bertemu peminat dan mengagihkan cenderahati eksklusif.
Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan meneka jarak perjalanan sebenar D-MAX secara dalam talian, dengan hadiah utama baucar barangan runcit bernilai RM5,000.
Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan menerusi pertandingan tersebut adalah sebanyak RM10,000.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


