Porsche memperkenalkan Mission S, sebuah model konsep yang memberikan gambaran awal tentang hala tuju reka bentuk baharu jenama itu, selain memperlihatkan perancangan untuk platform kereta super sport berenjin tengah yang bakal ditempatkan di atas 911.
Dibangunkan di bawah strategi “Sportwagenschmiede ’35”, Mission S menjadi asas kepada perancangan Porsche untuk membangunkan sebuah model kekal. Bagaimanapun, spesifikasi teknikal dan perancangan pengeluaran masih belum diumumkan.
Reka bentuk diinspirasikan model ikonik Porsche
Porsche menggunakan pendekatan reka bentuk “floating volumes”, dengan permukaan badan yang mengalir bagi menghasilkan penampilan lebih dinamik.
Turut menarik perhatian ialah elemen penyejukan yang menyerupai kipas radiator 917, selain rim ringan yang mengambil inspirasi daripada reka bentuk dial 928. Susun atur enjin tengah pula memberikan Mission S perkadaran badan yang tersendiri.
Lima meter bulat, kurang skrin
Lima meter bulat ditempatkan di belakang stereng, dengan takometer analog sebagai instrumen utama. Kedudukan meter boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih, manakala suis dan butang fizikal digabungkan dengan kawalan jenis tolak-tarik untuk fungsi kenderaan.
Menariknya, Mission S tidak mempunyai skrin sentuh kekal atau paparan khusus untuk penumpang. Sebaliknya, pemegang telefon pintar boleh laras dengan sokongan Apple MagSafe membolehkan pemandu menggunakan telefon sendiri untuk navigasi dan maklumat lain.
Model baharu di atas Porsche 911?
Buat masa ini, Mission S memberikan gambaran awal tentang perancangan Porsche untuk barisan kereta super sport berenjin tengah yang melengkapi, bukannya menggantikan, model 911.
