Chery Malaysia umum kempen panggil semula untuk model Omoda 5
Chery Auto Malaysia mengumumkan kempen panggil semula untuk model SUV Chery Omoda 5 susulan insiden yang berlaku di Johor Bahru minggu lalu.
Kempen terbaharu ini melibatkan varian C & H di mana pihak Chery akan menjalankan pemeriksaan dan menggantikan komponen yang terkesan sekiranya perlu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Chery Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam siasatan berkaitan perkara tersebut.
Semakan nombor VIN boleh dibuat menerusi laman web rasmi Chery Malaysia. Kos pemeriksaan dan penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Chery.
Terdahulu, pihak JPJ telah menggantung sementara sijil kelulusan jenis kenderaan (VTA) bagi model Chery Omoda 5, serta menangguhkan pendaftaran baharu sehingga siasatan teknikal selesai.
Dalam pengumuman yang dibuat Ahad lalu, pihak JPJ mahukan Chery Malaysia mengenal pasti unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan perkara berikut:
- nombor komponen
- kelompok pengeluaran
- nombor casis (VIN)
- parameter teknikal berkaitan
Pihak JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan merangkumi:
- pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP)
- sistem kawalan kualiti
- prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan
- tahap keselamatan komponen yang digunakan
Untuk makluman, model Chery Omoda 5 yang terjejas itu tidak lagi dijual di pasaran Malaysia.
Ini kerana pihak Chery Malaysia telah mengumumkan model pengganti facelift yang dinamakan sebagai Chery O5.
Chery O5 facelift kini menggunakan tetapan suspensi belakang jenis multi-link dan tidak langi menggunakan tetapan torsion beam seperti model Omoda 5.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.